Gerakan Harapan Baru, Tidak Dapat Sambutan – Iskandar

Kuala Lumpur – Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad berpendapat pimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diterajui oleh kumpulan progresif PAS masih mencari sokongan rakyat terhadap mereka.

 

Maka tidak mustahil bagi gerakan itu beberapa kali menangguhkan pendaftaran GHB sebagai sebuah parti politik kerana masih ‘kurang yakin’ dengan penerimaan orang ramai, termasuk ahli-ahli PAS.

 

“Pada asalnya parti tersebut dijangka ditubuhkan pada pertengahan Ogos, tetapi ditangguhkan kepada awal Spetember. Yang terkini ia akan ditubuhkan pada pertengahan September.

 

“Saya tidak hairan jika penubuhan parti itu ditangguh sekali lagi sekiranya sokongan rakyat dilihat tidak memberansangkan.

 

“Malah saya juga tidak terkejut jika penubuhan parti tersebut dibatalkan dan kumpulan itu hanya bergerak sebagai NGO,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dipetik sebagai berkata GHB akan menjadi sebuah parti politik dengan nama baru dan didaftarkan pada 14 September ini.

 

Ujarnya penubuhannya bersesuaian dengan tempoh yang diberikan kepada kepimpinan PAS selepas muktamar iaitu 100 hari untuk memperbaiki kelemahan.

 

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dalam pada itu menggesa pimpinan GHB segera mendaftarkan gerakan itu sebagai bukti iltizam mereka mahu berjuang atas nama baru, dan bukan lagi atas nama PAS.

 

“Jika mereka bertegas untuk menubuhkan sebuah politik baru maka ia perlu dilakukan dengan segera. Kredibiliti mereka sedang dipertikaikan apabila halatuju mereka kelihatan kabur.

 

“Walaubagaimanapun jika benar mereka mahu membawa nilai tambah ke dalam landskap politik negara, tariklah mereka yang bersama Umno-BN dan bukan ahli-ahli PAS,” katanya lagi.

 

Gesaan itu senada dengan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bahawa tindakan GHB menarik ahli-ahli PAS ke dalam gerakan itu sebagai mahu memecah-belahkan parti Islam berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.