Dua Tren LRT Terbakar, Disebabkan Masalah Sistem Brek

Kuala Lumpur – Dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya mengalami masalah sistem brek di dua lokasi berbeza, satu berdekatan Stesen Universiti, Petaling Jaya dan satu lagi di Stesen Setiawangsa hari ini.

 

Kedua-dua insiden menyebabkan gangguan di laluan itu, dan turut menyebabkan keadaan dua-dua tren itu diselubungi asap.

 

Kejadian pertama di Stesen Setiawangsa pada jam 8 pagi, dan kejadian kedua pada jam 12.18 tengah hari ini.

 

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya mendapat panggilan pada jam 8 pagi dan menghantar lima anggota ke tempat kejadian sejurus kemudian.

 

Mereka mengambil masa setengah jam untuk mengawal keadaan dan turut memindahkan penumpang ke Stesen Seri Rampai bagi meneruskan perjalanan dari Kelana Jaya ke Gombak.

 

“Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

 

Sementara itu, jurucakap Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) berkata masalah yang sama juga dialami tren LRT Laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen Universiti, Petaling Jaya.

 

Beliau berkata, tiada kebakaran dan kecederaan dilaporkan, hanya kewujudan asap tebal di kedua-dua lokasi yang disebabkan oleh minyak brek yang terpercik di atas landasan tren yang panas.

 

Berikutan sistem keselamatan yang canggih, tren itu terhenti secara automatik sebaik mengalami masalah itu.

 

Pasukan Bomba dan Penyelamat mengawal keadaan serta memindahkan semua penumpang di kedua-kedua lokasi ke tren lain untuk meneruskan perjalanan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.