Anwar Bakal Umum Gabungan Baharu Pembangkang

Kuala Lumpur – Sebuah pakatan baharu pembangkang yang akan bekerjasama dengan semua kumpulan progresif akan ditubuhkan tidak lama lagi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Dalam perutusan dikeluarkan melalui peguamnya semalam, ketua umum PKR yang dipenjarakan itu menyuarakan kebimbangan mengenai situasi negara yang disifatkannya sedang melalui “krisis semakin teruk” akibat skandal rasuah dan kewangan, juga kejatuhan nilai ringgit.

 

Malaysia dicengkam skandal dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta memberi kesan ke atas nilai ringgit yang ketika ini mencecah paras terendah dalam tempoh 16 tahun.

 

“Kami sedang berusaha ke arah mengukuhkan pakatan yang akan merangkumi semua kumpulan progresif, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti gabungan Bersih, Abim, Ikram dan Gerakan Harapan Baru yang baru ditubuhkan.

 

“Tindakan bersama pelbagai kumpulan ini, yang komited terhadap pembaharuan dan perubahan, akan menawarkan demokrasi tulen dan satu alternatif yang adil kepada rakyat.

 

“Marilah kita mengenepikan segala pertimbangan dan perbezaan lain, dan memberi tumpuan kepada perjuangan yang hebat ini untuk menyelamatkan Malaysia,” kata Anwar dalam perutusan itu.

 

Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR dan sekutunya DAP serta PAS, tidak lagi wujud apabila parti Islam itu membuat keputusan pada muktamar bulan lepas memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Bekas timbalan presiden PAS, Mohammad Sabu, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, sebelum ini berkata pakatan pembangkang baharu akan diumumkan selepas Hari Raya.

 

Bulan lepas, ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui PR tidak lagi wujud, susulan usul PAS pada muktamarnya memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP kerana perbalahan mereka dalam isu hudud yang menjadi agenda parti Islam itu.

 

Gerakan Harapan Baru (GHB) dilancarkan minggu lalu oleh sekumpulan pemimpin progresif PAS yang tersingkir pada pemilihan awal Jun lalu, termasuk Mat Sabu dan bekas pemimpin kanan seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. – TMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.