Wan Azizah Jadi Boneka Lagi?

SHAH ALAM – Isyarat peralihan kuasa yang dilancarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menamakan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail(Gambar) bakal menggantikan posisi jawatan nombor satu Selangor menggambarkan sekali lagi Presiden PKR itu dibonekakan suaminya.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, posisi Menteri Besar Selangor sememangnya idaman Anwar, namun beliau tidak layak.

Menurutnya, disebabkan hanya Wan Azizah yang dipercayainya, beliau memutuskan untuk menempatkan isterinya di kedudukan berkenaan.

“Dari segi meritnya, Wan Azizah layak untuk pegang jawatan menteri besar kerana beliau juga Presiden PKR. Namun, umum maklum Anwar akan berperanan sebagai tangan ghaib yang akan mengemudi pemerintahan Selangor kelak.

“Kita tahu Wan Azizah masuk politik atas dasar perjuangan suaminya, bukan kerana kecenderungan sendiri. Beliau tidak ada pengalaman dalam pentadbiran negeri malah sebagai Presiden PKR juga tenggelam oleh bayangan Anwar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sekiranya penggantian kerusi menteri besar ini direalisasikan seperti hasrat Anwar, pastinya rakyat akan dapat melihat nanti keputusan yang dibuat Wan Azizah bukanlah pilihannya, tetapi suaminya.

“Sepatutnya Anwar jadi menteri besar seperti objektif Langkah Kajang, bila tak boleh dia letak Wan Azizah. Kelak semua keputusan pentadbiran negeri yang diputuskan Wan Azizah dipengaruhi Anwar. Macam dalam PKR juga Wan Azizah Presiden PKR tetapi Anwar yang bercakap.

“Bukan maksud saya rakyat tidak suka kepada Wan Azizah, tetapi beliau tidak ada pengalaman dalam pentadbiran malah tidak pernah berfungsi secara berkesan selaku presiden parti kerana tangan ghaib Anwar di belakangnya,” katanya.

Sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas enggan tunduk dengan desakan Anwar dan Timbalan Presiden, Azmin Ali supaya berundur dengan mengisytiharkan akan terus menjadi menteri besar sehingga tamat penggal pentadbiran 2018.

Pendirian Abdul Khalid mendapat tentangan daripada Anwar dengan bertindak balas memanggil mesyuarat melibatkan ketua cabang dan wakil rakyat PKR Selangor dengan mesej Abdul Khalid tetap akan diganti.

Beliau kemudian menamakan isterinya, Wan Azizah  sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

http://www.sinarharian.com.my/politik/wan-azizah-jadi-boneka-lagi-1.301545

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.