Laluan Tanpa Tol Hingga 31 Disember

RAWANG – Projek susur keluar ke Kampung Setia Kundang dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar) yang dijadualkan siap Ogos ini, kini dibuka kepada orang awam semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, projek siap 24 hari awal dari jadual dan boleh digunakan secara percuma sehingga 31 Disember ini.

Menurutnya, kadar tol melibatkan jarak sejauh 17.6 kilometer untuk Kundang Barat manakala 13.1 kilometer dari Kundang Timur belum ditetapkan dan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

“Belum ada ketetapan kadar tol lagi namun pembukaan susur keluar ini adalah sebagai penyelesaian kepada masalah pusingan U haram dilakukan penduduk sebelum ini yang membahayakan keselamatan pengguna lain.

“Kos projek bernilai RM30 juta dibiayai kerajaan pusat sementara penyelenggaraan di bawah konsesi Latar,” katanya selepas membuat lawatan tapak dan perasmian pembukaan susur keluar B149 semalam.

Sementara itu, Adun Kuang, Datuk Abdul Shukor Idrus berkata, siapnya projek tersebut adalah satu bukti usaha kerajaan menyelesaikan aduan penduduk sekitar sini.

“Hampir dua tahun masa diambil membuat permohonan sehinggalah lawatan perdana menteri 2012 yang bersetuju mengeluarkan peruntukan susur keluar ke Kundang.

“Kalau boleh kadar tol dikenakan biarlah tidak membebankan dengan harga minimum iaitu RM1 dan yakin jumlah kegunaan mampu ditingkatkan sejurus susur dibuka memandangkan hanya satu-satunya susur ke Kundang dari lebuh raya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Latar, Amran Amir pula berkata, sekurang-kurangnya 55,000 hingga 60,000 kenderaan menggunakan Latar setiap hari dan dijangka bertambah 4,000 unit kenderaan selepas projek susur keluar dibuka.

“Projek tambah baik penyuraian trafik dijangka memberikan manfaat kepada 120,000 penduduk sekitar Kundang, Kuang, Bandar Tasik Puteri.

“Tindakan pengguna membuat pusingan u haram di susur masuk menyebabkan lapan kes kemalangan serius dilaporkan namun tidak melibatkan kematian namun cedera parah,” katanya.

Katanya untuk perancangan jangka masa panjang projek susur keluar Bandar Tasik Puteri dijangka dilaksanakan selepas projek B149 selesai selewat-lewatnya hujung tahun ini dan siap menjelang 2016.

Terdahulu Sinar Harian pernah melaporkan tindakan pengguna yang membuat lencongan haram dan melawan arus untuk masuk ke Kundang disebabkan tiada akses susur keluar.

Atas faktor keselamatan pihak Latar dengan kerjasama agensi berkaitan telah melakukan penguatkuasaan dan halangan konkrit di persimpangan susur masuk Latar namun menimbulkan kemarahan pengguna.

Perbincangan dan permohonan pembukaan jalan kepada dua lorong pernah diusulkan penduduk namun ditolak Latar atas faktor keselamatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.