Kotak Hitam MH17 Diserahkan Kepada Malaysia

Kiev – Dua kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas telah diserahkan kepada pasukan penyiasat khas Malaysia, kata ketuanya Khairil Hilmi Mokhtar pada Selasa.

Beliau berkata kotak hitam berkenaan diserahkan kepada pasukan di Donetsk, Ukraine, tempat pesawat itu terhempas.

“Kami akan bawa kotak hitam ini ke Belanda sebelum bawanya pulang ke Malaysia,” kata Khairil Hilmi kepada Bernama.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di Putrajaya pada Isnin malam bahawa kotak hitam itu akan diserahkan kepada pasukan Malaysia pada pukul 9 malam (2 pagi di Malaysia) selepas beliau berhubung dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah bergolak tempat pesawat itu terhempas.

Pesawat MAS, MH17, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, dekat sempadan Rusia pada Khamis malam.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Dipercayai pesawat itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.