Kes Culik : Sektor Pelancongan Sabah Terjejas Teruk

Kuala Lumpur – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mendedahkan hari ini pencapaian pertumbuhan ekonomi bagi industri pelancongan negara mencatat penurunan ketara ekoran beberapa siri penculikan di Sabah, selain insiden pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada bulan Mac.

Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata berdasarkan laporan Indeks Pasaran Pelancongan (TMI) 2014, berlaku penurunan yang amat besar iaitu pada 9.0 mata bagi tempoh suku pertama dan 38.6 mata bagi suku kedua.

Beliau menyifatkan penurunan tersebut amat membimbangkan kerana perbezaan pertumbuhan bagi industri pelancongan bagi 2013 dan 2014 adalah kira-kira 15.9 mata.

“Kita dapat lihat bacaan yang rendah pada pencapaian suku tahun kedua (2014) di mana paling teruk terjejas adalah pakej pelancongan dan tempahan pelancongan semasa.

“Penurunan ini membimbangkan kerana saya kira, akibat insiden MH370 dan juga isu keselamatan pelancong di Sabah, ia sememangnya memberi kesan terhadap pencapaian industri tersebut,” katanya pada sidang media di Bangunan MIER, Bukit Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau menafikan kiraan indeks tersebut melibatkan insiden MH17 yang jatuh terhempas di Ukraine baru-baru ini.

“MH17 ini terlalu awal, jadi ia tidak ada kena mengena namun kalau untuk MH370 memang ada, tetapi juga tidak terlalu memberi kesan sangat.

“Saya fikir yang sangat memberi kesan adalah kerana kejadian berlaku di Sabah dengan isu keselamatan akibat daripada berlaku beberapa siri penculikan,” katanya.

Ditanya adakah ini bermaksud bahawa pencapaian industri pelancongan akan terus menyaksikan penurunan pada masa akan datang, beliau tidak menolak dakwaan itu.

“Kemungkinan memang turun, tetapi kita tidak tahu… masih terlalu awal untuk kita buat kiraan dan jangkaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.