Isu Bible Antara Punca Sokongan Pakatan di Selangor Merosot

Shah Alam – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh mengakui kegagalan kerajaan negeri menangani isu rampasan 321 Bible berbahasa Melayu dan Iban sebagai antara punca kejatuhan sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR) seperti dalam kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel).

Yeoh berkata, tindakan kerajaan pimpinan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membiarkan isu rampasan Bible menjadi teka-teki sehingga lebih enam bulan menyebabkan rakyat kecewa, terutamanya rakyat penganut Kristian.

“Apabila kerajaan negeri tidak membuat ketetapan, terutamanya dalam isu rampasan Bible sehingga lebih enam bulan, semestinya saya sebagai pengamal agama Kristian kecewa dengan respon kerajaan negeri yang membiarkan isu ini terus berlalu.

“Saya yakin rakyat lain juga berkongsi sentimen sama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, kejatuhan sokongan juga terjadi apabila rakyat memberikan mandat kedua kepada PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu dan mengharapkan Khalid membawa perubahan yang lebih baik, terutamanya dalam isu kerajaan tempatan.

Namun sebaliknya berlaku dalam tempoh setahun ini apabila kutipan sampah masih menjadi isu utama dalam kerajaan tempatan.

“Kita tahu dengan menamatkan kontrak Alam Flora dapat menjimatkan wang tetapi penjimatan wang dengan memperbaiki tahap prestasi (kerajaan tempatan) adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.

Kajian UMcedel semalam menunjukkan sokongan rakyat terhadap Pakatan jatuh kepada 35% selepas PRU13 berbanding 50% pada tahun 2012.

Katanya, perlu penambahbaikan dalam mengendalikan isu kutipan sampah di Parlimen Kelana Jaya apabila kontraktor masing-masing lepas tangan dalam menguruskan sampah buangan, sampah pukal dan sampah kebun.

Beliau berkata, isu itu tidak berlaku semasa Alam Flora mengendalikan kutipan sampah sebelum ini.

Beliau turut menegur pemberian peruntukan di bawah projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) yang terlalu lambat sedangkan ia perkara asas yang diperlukan rakyat.

“Komen ini atas kapasiti saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya dan saya rasa ini adalah perkara yang mengundang kejatuhan statistik dalam kaji selidik itu selain isu agihan air.

“Saya tidak terkejut langsung,” katanya.

Ditanya sama ada kejatuhan itu ada kaitan dengan kemelut jawatan menteri besar dan Adun Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan sebagai pengganti Khalid, Hannah bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Mesti ada sebab kenapa ia (sokongan) jatuh. Tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.

“Apabila ada kajian seperti ini, lebih baik untuk kritikal terhadap diri sendiri dan gunakannya sebagai alasan untuk bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Speaker Nik Nazmi Nik Ahmad berkata hasil kajian itu perlu diambil serius kerana Adun lain sudah membangkitkan isu sama berulang kali dalam Dewan sejak November tahun lalu.

“Isu dibangkitkan kedua-dua pihak kelab penyokong kerajaan (BBC) dan pembangkang (Barisan Nasional), jadi saya rasa kaji selidik itu perlu diambil perhatian.

“Tiba masanya kita perlu bertindak,” katanya.

Kajian UMcedel yang dilakukan pada 10 hingga 19 Mei lalu juga mendapati sokongan rakyat terhadap BN naik 10%.

“Kami dapati mereka yang tidak lagi menyokong PR ini banyak beralih kepada golongan ‘tidak pasti’ yang kini membentuk 40% (termasuk 15% yang tidak mahu menjawab), selain pergi kepada BN,” kata bekas Pengarah UMcedel Profesor Datuk Dr Redzuan.

Kali terakhir UMcedel menjalankan kajian yang sama di Selangor ialah pada September 2012.

Kebimbangan sama turut dinyatakan pemimpin Pakatan Selangor yang tidak menyangka sokongan rakyat akan jatuh begitu teruk.

“Keputusan itu lebih teruk daripada jangkaan. Kami tahu sokongan berkurangan, tetapi yang membimbangkan adalah tahap kejatuhannya,” kata Ketua DAP Tony Pua kepada The Malaysian Insider semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.