Isteri lapor Polis Selepas Mengetahui Suaminya Ada Hubungan Sulit

SIBU: Setelah tidak diberi nafkah sejak April lalu, seorang isteri membuat laporan polis selepas mendapati suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Pengadu yang berusia 25 tahun, berasal dari Song mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki berumur antara dua hingga lima tahun hasil perkahwinannya bersama suami yang juga seorang anggota polis di Balai Polis Dengkil, Selangor.

Menurut pengadu, suaminya bekerja sebagai buruh sebelum menjadi anggota polis tiga tahun lalu.

Katanya dia dan suaminya hanya mendaftarkan perkahwinan mereka di JPN Kanowit pada 2012 selepas dia melahirkan anak ketiganya.

Bagaimanapun katanya, suami telah menunjukkan sikap dingin terhadapnya dan anak-anak sejak mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Hubungan keluarga mereka semakin tegang sejak pengadu menjumpai surat cinta dan sekeping gambar suaminya berpelukan dengan seorang wanita lain dipercayai berbangsa Indonesia.

“Saya pernah menegur dan menasihatinya supaya mengubah sikapnya, namun suami saya tidak mahu mengaku sehingga satu hari saya menjawab panggilan telefon bimbitnya di rumah di Dengkil sebelum ini,” kata pengadu.

“Saya hairan apabila mendapati pemanggil adalah seorang wanita sedangkan nama pemanggil tertera nama seorang lelaki dan berpangkat koperal,” kata pengadu.

Menurut pengadu, wanita itu terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia adalah isteri kepada pemilik telefon bimbit yang dihubunginya.

Wanita tersebut kemudiannya memberitahu bahawa orang yang dihubunginya tidak mempunyai isteri atau anak-anak tetapi pernah putus tunang.

Sejak kejadian itu, pengadu cuba mendapatkan penjelasan daripada suaminya namun setiap kali dia berbuat demikian suaminya naik berang sehingga mengeluarkan kata-kata mahu menceraikannya dan pernah menghalaunya dari rumah.

“Lebih hina lagi muka saya pernah diludah oleh suami saya menyebabkan saya terasa amat hina,” keluh pengadu.

Pengadu juga difahamkan bahawa wanita simpanan suaminya kini mempunyai seorang anak luar nikah.

Tidak tahan dengan sikap dingin suaminya, pengadu mengambil keputusan untuk pulang ke kampung di Song pada April lalu.

Pengadu membuat laporan polis pagi semalam selepas suaminya tidak memberi nafkah kepadanya dan anak-anak sejak April lalu.

Read more: http://www.theborneopost.com/2014/07/22/tembelang-suami-main-kayu-tiga-terbongkar/#ixzz38B0FqXzc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.