Istana Nafi Laporan Malaysiakini

SHAH ALAM 21 Julai – Istana Selangor belum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan Ahli Parlimen Pas, Khalid Abdul Samad untuk menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, dakwaan sebuah portal berita bahawa Sultan Sharafuddin menolak permohonan Ahli Parlimen Shah Alam itu adalah tidak benar.

Beliau mendakwa tidak dihubungi oleh mana-mana portal berita dan membuat kenyataan berhubung keputusan permohonan Khalid itu.

“Tuanku sudah menerima permohonan daripada Khalid untuk menghadap tetapi belum ada keputusan dibuat sama ada baginda berkenan untuk berjumpa atau tidak.

“Kemungkinan portal berita terbabit tersalah menerima maklumat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Malaysiakini hari ini melaporkan, Sultan Sharafuddin menolak permohonan Khalid untuk diperkenan menghadap baginda berhubung isu berkaitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sehubungan itu, Mohamad Munir menambah, pihak istana akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat bagi menafikan dakwaan baginda telah menolak permohonan Khalid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.