Bersatu Sokong PM dan MAS, Bukan Mengutuk

SEREMBAN: Rakyat Malaysia mesti bersikap patriotik terhadap negara tatkala Malaysia berdepan pelbagai cabaran dan ujian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, umur dan fahaman politik, agar bersatu dalam menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).

“Ini bukan masanya untuk memburuk-burukan individu dan organisasi. Kita semua mesti sama-sama bekerjasama dalam cara yang tersendiri dalam memberi semangat dan sokongan kepada pihak pemerintah Malaysia, agar negara terus maju, aman dan makmur pada masa depan.

“Saya meminta seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan dan mendoakan Perdana Menteri diberikan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi saat-saat getir ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau mengulas cacian dan komen tidak berasas di laman sosial yang dilemparkan berhubung tragedi pesawat MAS MH17 terhempas di Ukraine pada Khamis lepas yang dipercayai ditembak jatuh. Pesawat itu membawa 298 orang — 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Hasan berkata tindakan mengeluarkan kata-kata buruk kepada pemimpin negara dan syarikat milik kerajaan tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi Malaysia sekarang ini.

“Saya yakin…insya-Allah, berkat hubungan baik Perdana Menteri kita dengan pemimpin beberapa negara besar, perkara ini (MH17) akan dapat diselesaikan dengan baik. Sama-samalah kita mendoakannya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan individu yang mencaci dan membuat komen tidak berasas itu sebagai tidak memperduli perasaan waris atau anggota keluarga mangsa tragedi itu.

“Cacian-cacian dalam media sosial ini dan komen-komen ini datang daripada mereka yang tidak mengetahui latar belakang kejadian atau sengaja mencari kesalahan.

“Sensitiviti keluarga janganlah dipermain-mainkan. Komen-komen yang tidak menentu boleh mendatangkan kesedihan, menyentuh hati dan perasaan adalah tidak wajar,” katanya kepada pemberita di Kuching.

Menurutnya rakyat seharusnya bersatu hati dan melupakan perbezaan pendapat dalam kalangan mereka dalam menghadapi keadaan seperti itu. — Bernama

Read more: http://www.theborneopost.com/2014/07/21/bersatu-dan-sokong-pm-dan-mas-bukan-mengutuk/#ixzz388p9nceC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.