PRAGUE, – Malaysia sekali lagi mengharumkan nama di pentas antarabangsa apabila kumpulan orkestra MARESMaF Wind Orchestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori middle class di Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025.
Pertandingan berprestij itu berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Republik Czech, menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara, dengan Malaysia menjadi satu-satunya wakil dari Asia. MAWO berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara Eropah dan dinobatkan sebagai penerima markah tertinggi dalam kategorinya oleh juri profesional antarabangsa.
Penilaian dilakukan berdasarkan kualiti persembahan, kecekapan teknikal, serta penguasaan komposisi muzik bertaraf antarabangsa.
Menurut kenyataan media FELDA, kemenangan ini membuktikan keupayaan generasi FELDA bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut menyerlah dalam bidang muzik dan seni persembahan pada peringkat dunia. Kejayaan ini turut menjadi simbol kemampuan warga FELDA untuk bersaing di arena global.
Pencapaian MAWO ini turut bertepatan dengan pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Mesyuarat Kabinet baru-baru ini ini mengenai penganjuran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) yang bakal berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos 2025 di MITEC, Kuala Lumpur. MK3D merupakan platform yang menonjolkan potensi anak muda luar bandar dalam bidang kebudayaan, inovasi dan teknologi.
Kejayaan MAWO mencerminkan kejayaan pendidikan berteraskan Ulul Albab serta komitmen berterusan FELDA dalam mencungkil dan mengembangkan bakat muda. Prestasi cemerlang ini bakal diangkat serta diraikan dalam MK3D 2025 sebagai sumber inspirasi buat seluruh warga FELDA dan rakyat Malaysia.