Sarawak Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tolak Permohonan Petronas

KUCHING – Sarawak menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Petronas bagi kebenaran untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan negeri itu berhubung hak syarikat minyak negara itu untuk mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah, Rakyat Sarawak baru sahaja menang di mahkamah hari ini. Terima kasih banyak-banyak kepada pasukan peguam kami dan mari kita semua berdoa untuk yang terbaik di masa depan,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam catatan di Facebook rasmi beliau.

Di Putrajaya awal hari ini, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop menolak permohonan Petronas bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap kerajaan Sarawak dan memerintahkan syarikat minyak negara itu membayar RM50,000 sebagai kos kepada kerajaan negeri.

Petronas memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding itu mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan pada 6 Jun, memohon perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan di Sarawak.

Ia memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang telah dikuatkuasakan oleh Parlimen yang menyatakan bahawa Petronas ialah pihak pengawal selia eksklusif bagi industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak. Syarikat itu turut memohon perisytiharan bahawa Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (OMO) secara tersiratnya telah dimansuhkan oleh PDA.

Petronas diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala peguam kerajaan negeri Sarawak Datuk Sri J. C. Fong mewakili kerajaan negeri. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.