Bantuan Nelayan ‘One-Off’ Dihentikan, Bukan Sara Hidup Kata Menteri

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghentikan elaun nelayan hanya merujuk kepada bantuan one-off.

Salahuddin melalui satu kenyataan media sebentar tadi berkata hasil perbincangan yang dilakukan bantuan sara hidup kepada golongan nelayan akan diteruskan seperti biasa.

“Saya ingin merujuk kenyataan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa bantuan bulanan antara RM200 hingga RM300 kepada para nelayan akan dihentikan.

“Hasil perbincangan antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pejabat Perdana Menteri, Tun Mahathir telah mengesahkan bahawa kenyataan beliau merujuk kepada “one-off cash incentives” yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kepada para nelayan,” katanya merujuk kepada kenyataan tersebut.

Menurutnya kerajaan memutuskan untuk menghentikan insentif itu kerana dana yang digunakan dari sumber yang meragukan.

“YAB Perdana Menteri juga telah merujuk pemberian tersebut yang telah dibuat menggunakan wang dari sumber yang meragukan.

“Kenyataan YAB Perdana Menteri tidak membabitkan pemberian lain dan ini termasuk Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan yang telah termaktub sebagai program-program di bawah kementerian.

“Untuk pengetahuan umum, ESH nelayan telah bermula sejak Jun 2008 dan bertujuan untuk meringankan bebanan kos sara hidup para nelayan,” ujarnya lagi.

Mahathir ketika wawancara dengan Malay Mail semalam berkata kerajaan berhasrat memansuhkan bantuan bulanan antara RM200 hingga RM300 itu kerana kerajaan kekurangan dana.- SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.