Argentina Mungkin Tersingkir Awal Dari Saingan Piala Dunia 2018

NIZHNY NOVGOROD – Pasukan Argentina di ambang tersingkir dari saingan Piala Dunia FIFA Rusia 2018, selepas tumpas 3-0 kepada Croatia dalam perlawanan kedua kumpulan D, awal pagi tadi.

Kemenangan ini sekali gus menyaksikan Croatia mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.

Selepas seri 1-1 dengan Iceland, skuad Argentina yang dibimbing jurulatih Jorge Sampaoli mempunyai peluang kedua untuk menyerlah dengan tumpuan terarah kepada kapten pasukan, Lionel Messi untuk menyinar di pentas antarabangsa ini.

Bagaimanapun skuad generasi emas Croatia mempamerkan corak permainan yang lebih kemas sejak sepak mula dan mempunyai beberapa peluang keemasan untuk berada di depan.

Pada minit ke-33, Mario Mandzukic berjaya melepasi perangkap ofsaid Argentina namun tandukannya hasil hantaran Sime Vrsaljko, sedikit tersasar.

Croatia akhirnya memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-53 menerusi jaringan Ante Rebic, yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Argentina, Wilfredo Caballero.

Barisan pertahanan Croatia yang mantap menyaksikan Argentina jarang mengugat gawang yang dikawal Danijel Subasic.

Pada minit ke-64, cubaan berganda di hadapan gawang gagal menewaskan Subasic, termasuk sepakan Messi yang berjaya dikeluarkan penjaga gol AS Monaco itu.

Argentina sekali lagi dihukum akibat aksi pertahanan yang longgar sepuluh minit sebelum permainan tamat, apabila Luka Modric diberi ruang untuk merembat masuk bola ke penjuru gawang dari jarak jauh, untuk Croatia mendahului 2-0.

Tekanan semakin memuncak buat Argentina untuk merapatkan kedudukan 5 minit sebelum perlawanan tamat, apabila Nicolas Otamendi dilihat sengaja menyepak bola ke arah muka Ivan Rakitic yang terjatuh akibat dikasari Javier Mascherano.

Rakitic hampir meledak gol ketiga Croatia hasil sepakan percuma susulan faul tersebut, namun sepakan pemain Barcelona itu terkena tiang.

Bagaimanapun usaha Rakitic untuk mendapat gol dalam pentas Piala Dunia akhirnya membuahkan hasil dalam masa kecederaan.

Rembatan Rakitic yang diselamatkan Caballero sekadar singgah kepada pemain gantian, Mateo Kovacic yang mengembalikan semula bola kepadanya untuk pemain Barcelona itu menolak masuk gol ketiga Croatia.

Perlawanan tamat Argentina 0, Croatia 3, sekali gus mengesahkan kemaraan skuad bimbingan Zlatko Dalic yang sudahpun melakar kemenangan 2-0 ke atas Nigeria dalam perlawanan pembukaan.

Sementara nasib Argentina untuk kekal dalam kejohanan bergantung kepada perlawanan terakhir bagi kumpulan D. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.