Ahmad Zahid Sedia Isytihar Aset Miliknya

KUALA NERUS – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau bersedia untuk mengisytiharkan harta, seperti mana mahu dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kita ikut, tidak ada masalah dan tidak apa yang perlu disembunyikan,” itu jawapan ringkas beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, apabila ditanya sama ada beliau bersedia mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memberi sebarang komen sama ada akan menyertai perdebatan seperti disarankan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Perjumpaan Tertutup UMNO Terengganu di sini, semalam.

Ahmad Zahid kemudian dilihat meninggalkan majlis yang berlangsung kira-kira dua jam setengah itu sambil diiringi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Turut hadir, calon bagi jawatan Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Mohamad Hasan; calon Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Said dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO selain pemimpin peringkat negeri.

Kelmarin, Ku Li, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, dilaporkan bersedia mengisytiharkan harta sebelum pemilihan UMNO yang dijadualkan pada hujung bulan ini.

Tengku Razaleigh berkata, kesanggupannya itu bagi membuktikan beliau tidak pernah melakukan salah guna kuasa dan rasuah.

Seorang lagi calon Presiden, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, turut menyatakan kesanggupannya mengisytiharkan harta dan berdebat.

Selain Ahmad Zahid, Tengku Razaleigh dan Khairy, jawatan Presiden UMNO bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Empat lagi calon yang turut menyerahkan borang untuk bertanding jawatan presiden ialah penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat dari UMNO Bangi, Mohamed Iqbal Maricair dari UMNO Bandar Tun Razak dan Mohd Yusof Musa @Jamaluddin dari UMNO Iskandar Puteri. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.