Scha Seronok Berlakon Pada Bulan Puasa

KUALA LUMPUR: Pelakon, Scha Alyahya, tidak berasa terbeban menjalani penggambaran drama rantaian, Tiga Dara Pingitan, pada bulan puasa.

Katanya, keserasian bersama teman gandingan membuatkan beliau berasa seronok menjayakan watak dalam naskhah arahan Dira Abu Zahar itu.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 34, berkata biarpun kali pertama disatukan dengan Marsha Milan dan Nasz Sally, mereka tidak menghadapi kesukaran untuk menjadi teman rapat dalam drama itu.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk berlakon pada bulan puasa kerana beberapa tahun sebelum ini pun saya turut terikat dengan jadual kerja ketika Ramadan. Biarpun tempoh penggambaran agak lama, namun kehadiran Marsha dan Nasz menjadikan kerja lebih mudah.

“Saya membawakan watak Ecah, iaitu seorang yang tegas jika dibandingkan dengan Marsha dan Nasz. Karakter yang dilakonkan mereka dalam drama itu lebih ‘gila-gila’ dan saya boleh diibaratkan sebagai ketua dalam kumpulan itu.

“Drama bersiri 24 episod itu dijangka menamatkan penggambarannya pada awal Ogos depan. Cuma saya ada meminta cuti beberapa hari untuk menjaga Awal yang menjalani pembedahan pada bahagian hempedu, baru-baru ini,” kata Scha.

Bercerita mengenai keadaan suaminya, Scha memberitahu, Awal sudah lama mengadu sakit perut, namun menganggap ia adalah gastrik.

Keputusan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan kira-kira sebulan lalu menunjukkan Awal mempunyai sakit pada bahagian hempedu kronik dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Sebelum ini Awal sering sakit perut sehingga terlantar dan menangis kesakitan, namun dia ingatkan sakit gastrik. Tidak sangka rupa-rupanya dia mempunyai sakit kronik dan perlu dibedah segera.

“Alhamdulillah, kesihatan Awal kembali seperti biasa, cuma dirinya perlu berehat beberapa hari setelah menjalani pembedahan, 5 Jun lalu,” kata Scha.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.