Remaja Tahfiz Imamkan Siti, Keluarga Sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR: Sempena Ramadan, pelbagai pihak mengambil peluang menambahkan amalan dan pahala, termasuk melakukan amal kebajikan dengan berbagai-bagai cara, seperti bersedekah serta meraikan golongan asnaf.

Bagi Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, mereka tidak ketinggalan mencari keberkatan Ramadan, namun dengan cara agak berbeza.

Pasangan ini memilih untuk mengambil seorang anak tahfiz dikenali sebagai Azam tinggal bersama-sama mereka untuk sama-sama memanfaatkan bulan mulia.

Menurut penyanyi berkenaan yang kini menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, Azam bagaikan anak angkat keluarga mereka, terutama ibu mentua. Sejak tahun lalu, Azam akan menetap di kediaman berkenaan pada bulan puasa bagi menjadi imam solat lima waktu keluarga Siti, selain terawih.

“Jika selama ini insan kepercayaan kami sekeluarga, arwah Pak Wok, yang melakukan pelbagai tugas, termasuklah menjadi imam solat kami di rumah. Begitupun sejak ketiadaan dirinya, tugas beliau pada Ramadan diambil alih pula oleh Azam.

“Solat terawih pun diadakan di rumah. Jadi, tugas imam itu memang digalas sepenuhnya olehnya.

“Kebetulan, pada tahun ini Azam akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Jadi, sepanjang Ramadan ini juga, dia mempunyai kelas tuisyen di rumah. Segala keperluannya juga dipenuhi,” kata Siti yang dijangka kembali ke tanah air sehari sebelum Aidilfitri.

Kata Siti, idea mengundang dan menjaga kebajikan anak tahfiz terbabit pada bulan mulia berkenaan disuarakan ibu mentua dan suami tercinta.

Sementara itu Siti memberitahu, koleksi pakaian raya beliau di bawah jenama Creacion by Siti Nurhaliza mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat dan orang ramai.

“Siti dapat tahu, jualannya amat memberangsangkan. Cuma selepas raya ini, kita berkemungkinan besar akan keluar dengan koleksi pakaian kasual pula. Dalam perniagaan, kita kena bijak memenuhi apa yang diinginkan oleh pelanggan.

“Memanglah perniagaan ada turun naiknya. Selepas ramai yang berbelanja sakan untuk membeli koleksi raya, kita kena bersiap sedia dalam memberikan pilihan lain pula selepas berakhirnya musim perayaan,” katanya.

Siti, yang kini terus mempromosikan album SimetriSiti memberitahu, beliau mempunyai perancangan untuk mengadakan siri jelajah di beberapa negeri selepas ini.

“Begitupun, segala-gala belum dapat disahkan. Ia bergantung kepada jadual Siti selepas raya nanti, termasuk perancangan perniagaan,” katanya.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.