PM Rasmi Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis perasmian Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Istana Kehakiman, di sini.

Penubuhan mahkamah itu tercetus daripada idea Najib sendiri yang diumumkan semasa beliau berucap dalam Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Kuala Lumpur Mac lalu.

Langkah itu bertujuan mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan mempercepatkan giliran bagi perbica­raan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak.

Selain itu, mahkamah itu memberi tumpuan kepada kes-kes bagi mangsa jenayah seksual kanak-kanak seperti aktiviti pengantunan kanak-kanak (child grooming), pornografi kanak-kanak dan serangan seksual (sexual assault) selaras Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Najib ketika berucap berkata, penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak–Kanak itu dilihat sebagai komponen penting selaras dengan pelaksanaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Beliau berkata, mahkamah itu bukan sahaja merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia bahkan yang pertama di Asia Tenggara.

“Pada sudut ini, saya menyarankan supaya prosedur operasi standard (SOP) khas untuk mengendali kes-kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak juga harus dirangka di dalam tempoh masa yang terdekat ini.

“Bagi memenuhi hasrat ini, sebuah jawatankuasa kerja yang melibatkan pihak mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa pertubuhan kanak-kanak, termasuk Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) perlu diwujudkan, untuk merangka garis panduan khas ini.

“Tambahan lagi, garis panduan khas yang bakal dirangka ini perlulah menepati kehendak dan keperluan saksi kanak-kanak, serta selaras dengan amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara lain di dunia,” katanya.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Mahkamah tersebut berbeza dengan Mahkamah Kanak-kanak sedia ada kerana kes-kes bagi pesalah kanak-kanak dan isu penjagaan kanak-kanak didengar di Mahkamah Majistret manakala Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak didengar di Mahkamah Sesyen.

Bilik mahkamah tersebut terletak di Bangunan Annexe, Istana Kehakiman yang dilengkapi infrastruktur seperti Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT), bilik menunggu saksi kanak-kanak, persidangan video kanak-kanak secara langsung ketika memberi keterangan, penghadang kanak-kanak dan kemudahan yang mesra orang kurang upaya (OKU).

Perbicaraan yang akan didengar melibatkan kes-kes yang didaftarkan di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor dan dijangka di­selesaikan dalam tempoh setahun.

Pendaftaran kes akan dibuat dalam satu buku kausa khas mengikut bidang kuasa tempatan dan wilayah mahkamah. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.