Pelajar Ditemui Mati Dipercayai Terjatuh Dari Tingkat 10

Seorang pelajar perempuan universiti swasta berusia 28 tahun ditemui mati di tingkat satu sebuah kondominum di Shah Alam dipercayai terjatuh dari tingkat 10 bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata, mayat mangsa yang lengkap berpakaian dijumpai adik lelakinya yang bertindak pergi ke rumah mangsa selepas dua hari gagal menghubungi kakaknya itu.

“Ketika sampai di rumah sewa kakaknya di Kondominium Vista Alam, Seksyen 14 di Shah Alam, adik mangsa mendapati pintu rumah sewa kakaknya tidak berkunci dan terus memeriksa keadaan rumah. Beliau kemudiannya ke balkoni dan menemukan mangsa terbaring di tingkat satu bangunan.

“Adiknya kemudian menghubungi pihak polis. Polis sedang jalankan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Bernama difahamkan mangsa telah meninggal dunia sejak dua hari lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik Ahmad Nazmi Halil ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.12 tengah hari semalam dan mayat mangsa diturunkan menggunakan pengusung serta tali sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.