Pekerja Ladang Maut Dipercayai Dipijak Gajah Liar

Seorang pekerja ladang warga Indonesia ditemui tidak bernyawa dipercayai maut akibat diserang gajah liar di Ladang Tunjuk Laut, Tanjung Sedili dekat sini tengah hari semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Sofian Adi, 33, dipercayai hilang sejak semalam dan dijumpai dalam keadaan tertangkup di kawasan ladang berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi, Rahman Hashim berkata pihaknya menerima maklumat dari bilik kawalan tentang seorang lelaki hilang pada jam 8.57 pagi semalam sebelum bergegas ke lokasi bersama enam anggota dan dua kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, mangsa dijumpai kira-kira jam 12.50 tengah hari oleh pekerja ladang yang melakukan operasi mencari.

“Pekerja ladang berkenaan menjumpai kasut mangsa terlebih dahulu sebelum menjumpai mayat mangsa kira-kira 100 meter dari kasut tersebut,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

“Kita dimaklumkan seorang lagi rakan mangsa mengalami cedera akibat diserang haiwan liar itu dan kini sedang dirawat,” kata Rahman.

Ekoran penemuan mayat lelaki itu operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 1.30 tengah hari semalam dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah turut mengesahkan mayat mangsa yang dijumpai adalah pekerja ladang warga Indonesia.

Katanya, mangsa disedari telah hilang sejak kelmarin dan tengah hari semalam mangsa ditemui mati dengan kesan dipijak gajah,” katanya.

Maut dihempap pokok

Sementara itu, seorang pekerja pelabuhan maut akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di kawasan Pelabuhan Kuantan petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu mangsa Ab Aziz Jusoh, 54, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss kebetulan melalui kawasan itu dan tidak sempat mengelak menyebabkan mangsa dihempap pokok yang tumbang berkenaan.

“Bagaimanapun dua lelaki yang menaiki dua kereta Produa jenis Viva terselamat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Anuar menambah bomba mengambil masa selama kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah pokok itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap kejadian itu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.