MCA: Dengar, Selidik Dan Cari Jalan Penyelesaian’

Dengar, selidik dan cari jalan penyelesaian. Itu antara tiga pendekatan yang digunakan Barisan Nasional (BN) dalam usaha merampas kembali kerusi Parlimen Segambut daripada pembangkang.

Pengerusi MCA Bahagian Segambut Datuk Daniel Ling Sia Chin berkata pendekatan tersebut bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan tersebut, malah keyakinan pengundi terhadap BN juga dilihat kian meningkat.

“Sejak tahun lalu, kita amalkan tiga pendekatan iaitu dengar, selidik dan cari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah rakyat… hasilnya kini pengundi terutamanya kaum Cina dilihat kembali berpihak kepada kita.

“Di sini dah dua penggal kerusi dipegang pembangkang tetapi mereka dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat… oleh itu kita di pihak MCA dan parti komponen BN yang lain mengambil pendekatan dengan menyelesaikan masalah demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Umum ke-14 MCA Bahagian Segambut yang disempurnakan Ketua MCA Wilayah Persekutuan Datuk Yew Teong Look.

Ling berkata pihaknya juga bekerjasama dengan pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan syarikat Alam Flora Sdn Bhd bagi menyelesaikan beberapa masalah dihadapi masyarakat dalam parlimen itu.

“Di sini terdapat pelbagai masalah seperti longkang tersumbat hingga menyebabkan banjir kilat dan jalan berlubang teruk hingga menyebabkan kemalangan… ini yang kita cuba atasi dan selesaikan,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.