MB Perak Nafi Kewujudan Bonus BR1P

IPOH — Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menafikan penularan mesej di media sosial kononnya kerajaan negeri memberi ‘Bonus Rakyat 1Perak (BR1P)’ sempena menyambut bulan Ramadan.

Sambil menyifatkan tindakan itu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, Zambry berkata beliau turut ditanya sejak beberapa hari lalu adakah benar kerajaan negeri akan memberikan bonus kepada rakyat di negeri ini.

“Ini merupakan permainan media sosial oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan perkara seperti ini pernah menjadi tular dengan mendakwa saya akan memberi Bonus Rakyat 1Perak dan ia tidak banyak bezanya (penipuan).

“Jadi saya ingin memaklumkan kepada rakyat di negeri supaya tidak percaya terhadap berita palsu yang tersebar di media sosial ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam mesej yang tersebar menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp itu, satu link disertakan bagi memohon bonus berkenaan yang kononnya kerajaan negeri menawarkan RM750 kepada rakyat Perak yang berumur antara 18 hingga 55 tahun yang dibuka sehingga 24 Jun.

Pada April lalu, Zambry turut menafikan penularan mesej kononnya kerajaan negeri memberi ‘Bonus Rakyat 1Perak Ku (BR1PK)’ menerusi aplikasi WhatsApp kononnya menawarkan RM750 kepada semua rakyat Perak yang berumur 16 hingga 55 tahun.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata kempen ‘Perak Yang Bersih’ akan diteruskan sehingga kesedaran mengenai amalan kebersihan menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berhenti meneruskan kempen yang dilancarkan sejak April lalu walaupun Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengiktiraf Perak negeri kedua terbersih di negara ini selepas Terengganu serta mengatasi Pulau Pinang dan Melaka.

“Walaupun kempen yang dilaksanakan itu dianggap sinis oleh pihak pembangkang tetapi pengiktirafan seperti ini adalah usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak bagi memastikan Perak sentiasa berada dalam keadaan yang bersih.

Ini kerana sebelum ini tindakan pembangkang menggunakan isu nyamuk aedes di dalam tangki air berhampiran kediaman rasmi saya sebagai isu tempelan sahaja dan ia merupakan langkah yang tidak bijak,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP memperlekehkan kempen Perak Yang Bersih selepas kononnya mendapati tempat menyimpan air di luar Kediaman Rasmi Menteri Besar mempunyai jentik-jentik nyamuk. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.