Kali Pertama Mat Dan Beraya Sebagai Suami

KUALA TERENGGANU: Persiapan Aidilfitri personaliti televisyen, Mat Dan, tahun ini lebih meriah apabila buat kali pertama beliau bakal beraya sebagai suami. Mat Dan atau nama Islamnya, Kareef Danial, 28, dan isteri, Nadifa Adnan, 28, masing-masing menempah empat pasang baju bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketika ditemui BH Online, Mat Dan berkata sambutan perayaan kali ini pastinya berbeza dengan beberapa tahun sebelumnya kerana beliau sudah memiliki keluarga sendiri di negara ini, malah kini bergelar suami.

“Sejak memeluk Islam sekitar tujuh tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, saya hanya beraya bersama sahabat handai, manakala persiapan raya pula tidaklah semeriah kali ini.

“Bagaimanapun, bagi menyambut Syawal tahun ini, saya dan isteri sudah menempah empat pasang baju untuk dipakai sepanjang Aidilfitri.

“Saya sendiri tidak sabar untuk menikmati juadah raya seperti lemang dan rendang yang disediakan oleh isteri,” katanya ketika ditemui di bazar Car Food Sahur di Pantai Batu Buruk, di sini.

Bagaimanapun, anak jati Britain itu memberitahu, beliau pada masa sama masih belajar melakukan persiapan sepatutnya bagi menyambut kedatangan Hari Raya.

“Sebelum ini, saya sambut Aidilfitri bersama beberapa rakan, sama ada di Kuala Lumpur atau Terengganu, dengan persiapan yang sederhana,” katanya.

Selain itu, Mat Dan juga mengurangkan aktiviti seninya sepanjang Ramadan dan Syawal bagi memberi peluang untuknya meraikan kedua-dua bulan mulia berkenaan bersama isteri tercinta.

Malah, Mat Dan yang terkenal dengan rancangan kembara Mat Dan Kaki Jalan dan Haramain Backpackers memberitahu, beliau mahu menyambut perayaan kali ini di ‘kampungnya’, Terengganu, dan hanya akan kembali aktif dalam kerjaya seni selepas Aidilfitri.

Dalam perkembangan lain, Mat Dan berkata, beliau dan seorang rakannya akan bekerjasama melancarkan aplikasi atas talian yang dinamakan Koya TV, iaitu rancangan berbentuk travelog, khusus buat peminatnya yang gemar mengembara.

“Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, aplikasi itu akan dilancarkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini,” katanya.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.