Ikut Aliran Trend Semasa

SETELAH membuat keputusan untuk meninggalkan kerjaya di awan biru, penyanyi dan pelakon, Zarul Umbrella atau kini lebih dikenali sebagai Zarul Husin nekad memberikan sepenuh perhatian kepada bidang seni.

Tidak hanya kembali aktif sebagai penyanyi, tetapi Zarul yang mendapat tempat ketiga dalam program realiti Gegar Vaganza musim kedua itu, turut mencuba nasib mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

“Ketika membuat keputusan untuk kembali aktif dalam bidang seni, saya hanya fikirkan tentang bidang nyanyian sahaja, tapi tak sangka pula ada pihak yang bagi peluang kepada saya untuk menceburi bidang lakonan pula.

“Mulanya memang saya hanya mahu cuba selain ambil cabaran tersebut untuk uji kebolehan diri, namun tidak sangka pula lakonan saya itu dapat maklum balas baik daripada peminat,” katanya

Sehingga kini Zarul telah berlakon beberapa buah drama dan telefilem termasuk Cik Serba Tahu, Misteri Sofa Lama, Inspektor Daniel, Menantu Malam Raya dan terbaru mengisi suaranya untuk filem alih bahasa, The Secret Life of Pets yang bakal bersiaran di saluran HBO menjelang Aidilfitri nanti.

“Bila sudah banyak berlakon, minat dalam bidang ini pun bercambah sedikit demi sedikit dan kini saya mula selesa bergelar pelakon, malah cuba baiki segala kelemahan yang ada.
“Bagaimanapun, ingin tegaskan di sini bidang nyanyian tetap keutamaan sebab di situlah saya bermula dan itu jugalah yang jadi faktor saya buat keputusan untuk kembali kepada dunia seni,” akuinya jujur.

Biarpun ligat di lokasi penggambaran, Zarul juga sibuk mencari material terbaik untuk menghasilkan single baru buat para peminatnya.

“Sebenarnya sebulan yang lalu, saya sudah pun merakamkan sebuah lagu untuk single, namun ada beberapa bahagian yang saya rasakan tidak begitu sesuai dengan saya menyebabkan lagu tersebut tak jadi diterbitkan.

“Jadi ketika ini, saya sedang cari lagu yang lebih kena dengan jiwa saya tak kiralah ia berkonsepkan muzik ala 90-an mahupun muzik aliran trend terkini kerana apa yang lebih penting adalah kualiti lagu tersebut memenuhi apa yang saya mahukan,” katanya yang sebelum ini cukup dikenali menerusi lagu Ramalanku Benar Belaka bersama kumpulan Umbrella.

Menyedari kepentingan media sosial dalam kerjaya seseorang anak seni dalam era digital ini, Zarul tidak mahu ketinggalan untuk mengaplikasikan kelebihan itu dalam melancarkan perjalanan kerjaya seninya.

“Saya pernah berada dalam bidang seni sebelum ini dan cukup faham akan pasang surut kerjaya seni di mana kalau kita tidak kekalkan momentum sedia ada, sukar untuk kita bersaing apatah lagi bertahan dalam bidang ini.

“Saya mengakui media sosial hari ini sangat berpengaruh dalam kehidupan semua orang dan mempunyai banyak kelebihan jika digunakan dengan cara dan tujuan yang betul.

“Jadi saya menggunakan peluang itu untuk berkongsi perkembangan kerjaya seni saya dengan cara mengumpul pengikut seramai yang boleh di media sosial menerusi kemas kini segala aktiviti saya di situ,” akuinya yang turut mencari formula terbaik untuk terus kekal relevan.

Rindu suasana raya kampung

Biarpun rancak merencana kerjaya seninya, anak kelahiran Kelantan ini mengakui sesekali terdetik rasa rindu dengan kerjayanya sebagai pramugara.

“Tipulah kalau saya kata tak teringat langsung dengan kerjaya saya di awan biru kerana bukan setahun dua, sebaliknya lebih 17 tahun bertugas dalam bidang itu.

“Namun saya percaya setiap perubahan atau penghijrahan yang kita lakukan itu pasti beri sesesuatu yang lebih baik untuk kita.

“Misalnya tahun ini buat pertama kalinya, saya dapat cuti panjang untuk rai Aidilfitri setelah sekian lama tak dapat beraya dengan sempurna bersama-sama keluarga,” ujar Zarul.

Berkongsi perancangan raya, kata Zarul, dia akan menyambut 1 Syawal bersama keluarga mertua di Kuala Lumpur, selain bercadang pulang menjenguk sanak-saudara dan rumah pusaka keluarga di Kelantan.

“Sebelum ini, susah sangat nak dapat cuti raya, percaya atau tidak, sepanjang 17 tahun bertugas sebagai pramugara, hanya pada tahun ke-11 saya dapat cuti raya pertama itu pun sehari dua.

“Jadi bila tahun ini saya dapat cuti panjang, banyak perancangan nak dibuat bersama keluarga termasuk balik Kelantan.

“Sebenarnya semenjak ayah dan ibu dah tiada, saya dan adik-beradik yang lain hanya beraya di Kuala Lumpur dan ia semakin menjadi kebiasaan,” kata Zarul.

Bagi Zarul, terlalu banyak kenangan yang di rumah pusaka kedua orang tuanya menyebabkan perasaan rindu untuk menjenguk kampung halaman semakin kuat.

“Bila teringat rumah kampung, memang kenangan waktu kanak-kanak menggamit ingatan di mana kemeriahan beraya bersama keluarga ketika itu sangat luar biasa sehingga ia sukar untuk dipadamkan dari ingatan.

“Jadi saya harap Aidilfitri pada tahun ini lebih manis apatah lagi kami sekeluarga dapat jenguk sanak-saudara yang masih ada di sana, selain kembali merasai suasana kampung,” katanya yang bakal muncul dalam beberapa program raya seperti Gegar Vaganza Raya, Muzik-Muzik Raya dan Gitu-Gitu Raya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.