‘Donut ke Karipap? Filem Web Terbaru Petronas Semperna Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Petronas menerbitkan filem web terbarunya yang menarik berjudul ‘Donut ke Karipap?’

Filem berdurasi 256 saat itu berkisar tentang lima watak dalam produksi Petronas bersempena sambutan Tahun Baharu Cina serta perayaan Gawai dan Kaamatan 2017, yang mengharungi pelbagai dugaan dalam menyelami nilai mulia yang tersembunyi di sebalik amalan berpuasa Ramadan hingga menjadikan sambutan Aidilfitri lebih bermakna bagi mereka.

Nilai yang dimaksudkan ialah kesabaran, berhati mulia, rela berkorban dan permuafakatan – sejajar dengan semangat sambutan Aidilfitri serta komitmen Petronas sejak sekian lama dalam merapatkan hubungan sesama rakyat Malaysia melalui kempennya sempena musim perayaan, kata syarikat minyak dan gas negara itu dalam kenyataan di sini.

Filem berkenaan ditayangkan bagi tujuan pratonton pada majlis pelancaran ‘kempen berhenti rehat sambil minum kopi Petronas’ yang diadakan semula sempena Aidilfitri 2017 dan ditayangkan dari 22 hingga 23 Jun dan 1 hingga 2 Julai.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Zahariah Abd Rahman berkata syarikat itu gembira kerana dapat menghidangkan satu lagi kisah menarik mengenai keakraban rakyat Malaysia, yang diharap dapat meninggalkan kesan berkekalan di sanubari setiap orang, sama seperti beberapa penerbitannya sebelum ini.

“Melalui kempen bersempena sambutan sesuatu perayaan, kami mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya berpegang teguh pada nilai, tradisi dan budaya yang kita kongsi bersama sejak sekian lama serta sentiasa menghayati perkara penting itu kerana ia telah berjaya menjalin ikatan kukuh antara sesama kita sebagai rakyat Malaysia dan sebagai sebuah negara,” katanya.

Orang ramai boleh melayari saluran jenama rasmi Petronas di www.petronasofficial.com untuk menonton filem itu. Versi iklan televisyen sepanjang 60 saat pula akan disiarkan hingga 30 Jun.

“Petronas Coffee Break Campaign”, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif keselamatan jalan raya Petronas pada musim perayaan, menyediakan lebih 700,000 cawan minuman kopi segar serta snek dan pemeriksaan kesihatan di stesen PETRONAS yang mengambil bahagian di seluruh negara.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.