PM Yakin Arab Saudi Pertimbang Tambah Kuota Jemaah Haji Malaysia

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kerajaan Arab Saudi akan mempertimbangkan peningkatan kuota jemaah haji Malaysia pada musim akan datang berikutan hubungan baik kedua-dua negara.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sudah berusaha sedaya upaya untuk memastikan peningkatan kuota haji itu dapat direa­lisasikan.

 

Katanya, hal ini kerana jika jemaah mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji pada hari ini, giliran mereka untuk menunaikan haji akan tiba 71 tahun lagi.

 

“Mengenai kuota haji, kita sedang berusaha sedaya upaya. Kalau ada rezeki, ada lah. Insya-Allah,” katanya sewaktu berucap pada maj­lis Pelancaran Program Ramadan Al-Mubarak Peringkat Nasional anjuran Biro Kebajikan UMNO di Masjid Negara di sini hari ini.

 

Yang turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Wani­ta UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

 

Sempena majlis itu, sebanyak 6,298 buah masjid di seluruh negara masing-masing akan mene­rima 10 liter air zamzam dan 10 kilogram buah kurma bagi tujuan berbuka puasa dan moreh.

 

Tambah Najib, Arab Saudi amat memandang tinggi terhadap imej Malaysia yang baik sehingga menghulurkan bantuan apabila Malaysia berusaha membawa pulang para pelajar sewaktu krisis di Yemen dan juga Mesir.

 

Katanya, beliau sendiri disambut dengan baik sewaktu membuat lawatan rasmi ke negara itu terma­suk oleh putera mahkota, menteri-menteri kanan dan barisan tentera negara itu di lapangan terbang.

 

“Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud membuat keputusan tidak mahu mengikut protokol untuk menunggu saya di lapangan terbang. Tetapi, apakan daya, kakaknya meninggal dunia pada hari itu, jadi, baginda terpaksa beredar ke Riyadh,” katanya.

 

Perdana Menteri turut berpesan supaya rakyat negara ini terus menjaga imej negara ini yang dipandang tinggi oleh negara-negara lain.

 

Jelasnya, imej negara dipandang tinggi kerana dipimpin dengan baik oleh UMNO.

 

“Kita kena jaga imej negara, kalau kita burukkan-burukkan, siapa yang rugi?,” tegasnya.

 

Sementara itu, beliau berkata, jemaah haji negara buat pertama kali berpeluang menggunakan perkhidmatan tren yang dikendalikan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Makkah Metro Line yang menghubungkan Mekah, Arafah, Muzdalifah dan Mina pada musim haji akan datang.

 

Perkhidmatan tren elektrik sepanjang 18 kilometer itu dapat memendekkan masa perjalanan jemaah selain memudahkan mereka melaksanakan ibadah.

 

“Jemaah haji Malaysia musim ini berpeluang menaiki Makkah Metro Line di bawah kendalian Prasarana yang mendapat kontrak bernilai RM900 juta daripada kerajaan Arab Saudi. Sistem ini dikendalikan rakyat Malaysia yang beragama Islam,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.