PAS Tak Setuju Parti Baru Sertai PR

KUALA TERENGGANU – Pas tidak akan sesekali bersetuju jika parti baharu yang akan dibentuk mahu menyertai PR.

 

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya akan buat bantahan apatah lagi parti baharu yang dikatakan itu merupakan serpihan daripada Pas.

 

Menurutnya, kesediaan membentuk PR sebelum ini adalah melalui persetujuan tiga parti iaitu Pas, PKR dan DAP, manakala parti baharu tidak boleh sewenang-wenangnya menyertai PR.

 

“Kalau ada parti baru serpihan Pas, sudah tentu Pas tak setuju. Dia hendak bergabung dengan kekuatan apa? Atas alasan apa nak gabung,” katanya.

 

Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berserta beberapa bekas anggota jawatankuasa (AJK) parti itu tidak menolak kemungkinan membentuk sebuah parti baharu bagi meneruskan perjuangan politik mereka.

 

Satiful yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu menjelaskan, mana-mana isu yang tidak mendapat persetujuan daripada ketiga-tiga parti sebelum ini tetapi diteruskan juga sudah tentu memberi kesan kerjasama tersebut.

 

Antaranya katanya, isu pertandingan tiga penjuru di kerusi Kota Damansara pada PRU13 lalu berlaku berikutan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) diturunkan di kerusi itu.

 

“Pas tak setuju dengan calon PSM kerana dia hendak tanding atas tiket dia. Mana-mana perlu dapatkan persetujuan. Kalau tak setuju, tak boleh,” katanya.

 

Beliau mengharapkan semua ahli Pas kembali ke matlamat asal untuk sama-sama menguatkan parti dan memastikan hala tuju lebih baik dalam PRU14 akan datang.

 

“Kita harap ahli istiqamah hingga menang. Yang penting ahli istiqamah dengan bahtera yang ada.. yang kalah, kita harap jangan cepat buat keputusan yang bertentangan dengan parti tetapi ambil masa perbaiki diri mungkin akan dipilih semula pada pemilihan akan datang,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.