Mangsa Banjir Tidak Yakin Kualiti, Tolak Tawaran Rumah

TANAH MERAH – Sebuah keluarga mangsa banjir di Kampung Banggol Nering, dekat sini, sanggup berdepan risiko kemungkinan terlepas peluang mendapat bantuan rumah apabila menolak bantuan yang ditawarkan kerajaan negeri.

 

Ketua keluarga terbabit, Mahadi Mamat, 39, berkata, dia menolak bantuan itu kerana reka bentuk dan kualiti rumah ditawarkan kerajaan negeri dilihat tidak sesuai dan kurang selamat dibina di tapak rumah baharunya.

 

Justeru, katanya, dia lebih rela menanggung risiko terlepas bantuan rumah untuk mangsa banjir apabila menolak tawaran kerajaan negeri dan cuba pula merayu bantuan tersebut daripada kerajaan persekutuan.

 

“Bila lihat kualiti dan reka bentuk rumah ditawarkan kerajaan negeri, saya bimbang rumah baharu nanti tidak dapat bertahan lama kerana kawasan rumah saya ini memang setiap tahun dinaiki air banjir.

 

“Tidak timbul isu saya dipaksa oleh sesiapa supaya menolak bantuan rumah daripada kerajaan negeri kerana rumah ditawarkan kerajaan persekutuan lebih berkualiti dan lebih selamat sebab bertiang,” katanya, semalam.

 

Dia ditemui ketika hadir bersama isteri, Rosmawati Sazeli, 34, bagi memberi penjelasan mengenai tindakan mereka menolak bantuan rumah kerajaan negeri di pejabat Umno Bahagian Tanah Merah, dekat sini.

 

Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan Ahli Parlimen, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz menyekat kerajaan negeri membina rumah untuk mangsa banjir di parlimen ini apabila ramai mangsa memilih bantuan rumah daripada kerajaan persekutuan.

 

Menurut Mahadi, tuduhan tersebut tidak benar kerana dia mengisi kedua-dua borang bantuan rumah ditawarkan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada awal Januari lalu.

 

“Saya dapat tawaran daripada kerajaan negeri dulu tetapi bila lihat rumah dibina kerajaan persekutuan lebih berkualiti dan lebih sesuai untuk tapak rumah sekarang, saya tolak tawaran kerajaan negeri,” katanya.

 

Tambahnya, dia bersama isteri dan lima anak mereka yang berusia dua dan 14 tahun kini tinggal dalam kabin selepas rumah lama mereka musnah akibat banjir besar, akhir tahun lalu.

 

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, keluarga terbabit bernasib baik apabila rayuan mereka untuk mendapatkan bantuan rumah daripada kerajaan persekutuan diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Saya sudah berjumpa dengan MKN mengenai rayuan mereka dan lulus. Insya-ALLAH, projek pembinaan rumah baharu untuk keluarga ini akan dimulakan minggu depan,” katanya.

 

Jelasnya, kerajaan persekutuan meluluskan pembinaan 65 rumah kekal mangsa banjir di parlimen ini iaitu 30 buah untuk fasa pertama di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebanyak 35 rumah bagi fasa kedua di bawah MKN. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.