Felda Bayar Zakat Keseluruhan Berjumlah RM23 Juta

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak hari ini menyampaikan bayaran zakat Kumpulan Felda bagi tahun 2014 berjumlah RM23.1 juta kepada 14 Pusat Zakat Negeri di seluruh negara.

 

Daripada jumlah itu, RM18.3 juta dibayar oleh Felda Global Ventures Holdings Berhad; Koperasi Permodalan Felda (RM4.1 juta); Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (RM121,476) dan Koperasi Pekerja Felda Malaysia Berhad (RM39,357).

 

Najib menyerahkan bayaran zakat Kumpulan Felda itu kepada wakil Pusat Zakat setiap negeri yang antara lain terdiri daripada menteri besar; ketua menteri dan exco kerajaan negeri di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana di sini.

 

Terdahulu, Najib berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib bersama-sama menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri; duta-duta serta perwakilan asing; pegawai-pegawai kanan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) .

 

Sementara itu, kenyataan Felda menyebut perkembangan berterusan perniagaan Kumpulan Felda membolehkan ia membayar zakat dan seterusnya membantu lebih ramai masyarakat Islam yang memerlukan.

 

“Tidak dinafikan bahawa kewujudan Felda turut membantu memakmurkan masyarakat dan negara amnya,” menurut kenyataan itu.

 

Pada majlis itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut menyampaikan sumbangan kepada 50 anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Kuala Lumpur sebelum bersama-sama dengan tetamu menunaikan solat sunat Tarawih. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.