Anak Kapal MT Orkim Harmony Syukur, Gembira Telah Selamat

KUANTAN – “Syukur Alhamdulillah kami bebas dengan baik. Rasa gembira apabila telah selamat,” demikian reaksi Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 19, seorang anak kapal tangki MT Orkim Harmony yang selamat tiba di Pelabuhan Kuantan.

 

Beliau adalah pelajar jurusan Diploma Kejuteraan Perkapalan Politik Teknik Ungku Omar, Ipoh, Perak yang sedang menjalani latihan amali di kapal berkenaan ketika kapal itu ditawan lanun pada 11 Jun lalu.

 

Beliau membuat kenyataan ringkas demikian lewat petang kelmarin kepada media yang menunggu kepulangan kapal itu sejak awal 7.30 pagi, bahawa beliau dalam perjalanan menuju balai polis kerana dikehendaki membuat laporan berkaitan kejadian itu.

 

Beliau kemudiannya kelihatan dibawa keluar dari kawasan Dermaga Petronas bersama lima lagi anak kapal dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alphard dengan diiringi dua wakil yang dipercayai daripada pihak pengurusan syarikat kapal berkenaan.

 

Anak-anak kapal juga difahamkan dibawa berbuka puasa di luar kawasan pelabuhan berkenaan. Kawasan Dermaga Petronas itu turut dikawal rapi polis bantuan pelabuhan dengan petugas media juga tidak dibenarkan mendekati anggota keluarga yang datang melawat anak-anak kapal berkenaan.

 

Difahamkan seramai 21 anak kapal itu telah disoal siasat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum mereka dibenarkan menemui dan berbuka puasa bersama anggota keluarga masing-masing.

 

Kapal itu yang membawa 22 anak kapal yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar terputus komunikasi dengan pangkalan pada 8.57 malam di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

 

Pada 18 Jun, kapal itu berjaya dikesan di Teluk Siam yang telah ditukar nama oleh pihak lanun kepada Kim Harmon.

 

Anak-anak kapal itu dibebaskan pada pukul 2.30 pagi semalam dengan seorang daripada mereka didapati cedera dipercayai akibat ditembak oleh perampas.

 

MT Orkim Harmony yang membawa 6,00 metrik tan petrol RON95 bernilai RM21 juta selamat tiba di Pelabuhan Kuantan pada pukul 7.30 pagi kelmarin. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.