21 Jenazah Pelarian Rohingya Dikebumikan

ALOR SETAR – Pengebumian 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia terdiri etnik Rohingya bermula pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena.

 

Jenazah pendatang Rohingya dari Myanmar yang ditemui di kem tahanan Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis itu dikebumikan dalam satu liang lahad, bermula jam 10 pagi tadi.

 

Difahamkan proses pengebumian 21 jenazah membabitkan 19 lelaki dan dua wanita itu dimulakan pada jam 10 pagi selepas semua jenazah tiba setengah jam sebelum itu.

 

Kira-kira 200 penduduk setempat dan orang ramai turut menghadiri ke lokasi perkuburan bagi turut sama menyaksikan upacara pengebumian.

 

Proses menguruskan jenazah pelarian Rohingya ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Terdapat 106 jenazah pelarian Rohingya dengan baki 85 lagi masih menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), manakala 21 jenazah ini menjadi kumpulan pertama dikebumikan.

 

Jenazah pelarian yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya ini ditemui di tanam di atas Bukit Wang Burma di Wang Kelian, melalui Ops Wawasan Khas yang bermula 11 Mei.

 

Ia ekoran penemuan 139 kubur di 28 kem transit yang dibukan sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Perlis-Thailand, bulan lalu.

 

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata 21 jenazah itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad selepas selesainya proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

 

Beliau berkata, semua jenazah berkenaan adalah daripada kumpulan pertama yang ditemui di tempat kejadian. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.