Laksanakan Kembali Dasar Lindungi PROTON – Tun Mahathir

Shah Alam – Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat kerajaan perlu meneruskan dasar memberi perlindungan kepada PROTON bagi membolehkan syarikat pembuat kereta nasional itu bersaing dengan jualan kereta import di pasaran tempatan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, negara lain mengamalkan dasar tersebut untuk menyekat kemasukan kereta luar di negara mereka tetapi Malaysia tidak berbuat demikian selepas beliau melepaskan jawatannya.

“Itu dasar kerajaan sekarang. Setelah saya berhenti, dasar kerajaan berubah. Dulu saya bagi perlindungan sebab saya sedar industri kita masih baharu lagi. Sekarang dasar bertukar.

“Segala kereta nak masuk ke sini. Jadi daripada menguasai 80 peratus pasaran di Malaysia, Proton kini hanya menguasai 20 peratus,” katanya dalam wawancara Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PROTON yang baharu berkata, dasar kerajaan sekarang memberi peluang syarikat pengeluar luar negara membawa masuk kereta mereka ke pasaran tempatan tetapi PROTON tidak boleh mengeksport kereta ke negara mereka.

“Kita pula mempunyai polisi sebaliknya, seolah-olah menggalakkan kereta asing masuk ke Malaysia. Kita nak masuk sana tak boleh kerana mereka melindungi industri kereta mereka.

“Tetapi dia orang boleh eksport ke Malaysia kerana kita buka pasaran kita dan tak ada sekatan. Jadi tidak ada timbal balas,” jelasnya.

Disebabkan dasar tersebut, katanya, PROTON menghadapi pelbagai kekangan berbanding syarikat PERODUA yang dimiliki separuh oleh Jepun dan separuh lagi oleh Malaysia.

“Kita (PROTON) tak boleh masuk ke pasaran mereka langsung (Jepun). Kita tak boleh jual kereta di Jepun dan tak boleh nak bersaing dengan syarikat di sana kerana mereka besar dan kita kecil.

“Mereka mendapat economies of scale (pengurangan kos hasil peningkatan jumlah produk) dan kita tak ada kelebihan ini,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, PERODUA boleh menjual kereta di pasaran tempatan dengan harga murah kerana telah berjaya menjual dan mencatatkan keuntungan kereta sama di pasaran Jepun terlebih dahulu.

“Dia dapat mengurangkan harga sehingga RM5,000. Ada kereta yang dijual dengan harga RM22,000 sebuah sahaja.

“Cukup murah. Lebih murah daripada yang dikehendaki oleh kerajaan. Dia boleh buat demikian kerana kereta ini juga dibuat di negara asal mereka dan dipasar di sana. Misalnya, dia sudah keluarkan di Jepun 100,000 buah dan sudah amortize (melunaskan hutang).

“Mereka mendapat economies of scale (pengurangan kos hasil peningkatan jumlah produk) dan kita tak ada kelebihan ini,” kata beliau.

Mengenai pasaran eksport ke China yang merupakan pasaran terbesar dunia, Dr. Mahathir berkata, PROTON juga tidak boleh mengeksport ke negara republik itu kerana sebagai model diimport sepenuhnya (CBU), PROTON dikenakan cukai yang cukup tinggi.

“Mereka (kerajaan China) juga tidak keluarkan lesen baharu untuk mengilang kereta di negara itu,” katanya.

Bagi pasaran Eropah pula, beliau berkata, walaupun tidak mengenakan cukai tinggi tetapi meletakkan syarat kualiti tertentu yang harus dipatuhi.

“Macam di Eropah dia ada piawaian pengeluaran asap Euro 5. Ini semua memerlukan kita mengeluarkan enjin lebih canggih dan ini melibatkan perbelanjaan besar,” katanya.

Dr. Mahathir turut berpendapat, kerajaan perlu memberikan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada PROTON sebagaimana diterima oleh syarikat automototif tempatan lain.

“Kita memang dapat geran untuk R&D kereta hibrid dan kenderaan cekap tenaga (EEV), tetapi duit ini tak sampai lagi.

“Penyelidikan ini kita tidak boleh jamin, sekian-sekian bulan. Tetapi orang yang keluar duit geran R&D ini dia nak tahu apakah perolehan pulangan balik (ROI).

“Penyelidikan ini, kita tak boleh tahu, dapat atau tak dapat. Jadi kita terlewatlah sikit. Tetapi kita masih teruskan,” katanya.

One thought on “Laksanakan Kembali Dasar Lindungi PROTON – Tun Mahathir

  • June 22, 2014 at 9:38 pm
    Permalink

    PROTON sebuah nma yg besar d mlaysia lg2 dgn adanya Dr.M tp msih lg rmai yg memilih utk mmbeli kereta import brbnding proton. Alasan yg dberi adlh sbb kreta import lbih kualitinya dr segi keselamatan dan keselesaan brbnding proton. Tp alasan2 tu msih blum kukuh utk mmbktikn proton tak mnghasilkn kereta yg brkualiti dan selesa skrang ni sbb kereta proton skrang sdh pun tdk jauh bezanya jika hndk brbnding dgn level kreta sederhana buatan jepun atau korea tp msyarakat msih lbih memilih utk mmbeli kreta luar brbnding proton krna hrga kreta proton yang tak dpt nk tndingi kreta jepun. Bg sye x slah nk msukkn kreta import ke dlm ngare utk jdkn sbgai prsaingan dan pilihan buat msyarakat pilih kreta idaman tp prlu bg peluang kpd proton utk mningkat dgn menaikkan kdar hrga atau kenakan cukai yg lbih tggi keats hrga kreta import dan mengurangkan hrga dan cukai kreta tmpatan supaya msyarakat lbih memilih utk mmbeli kreta tmpatan. Just gve an opinion drpd seorg rkyat mlaysia yg ingin melihat syrikat kreta tmpatan lbih maju

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.