Juara Fear Factor, Erin Malik Bertunang

Shah Alam – Walaupun hanya berkenalan dalam tempoh singkat iaitu empat bulan namun pelakon terkenal Erin Malik, 20, yakin juara Fear Factor Malaysia musim ke-2 Farriz Fauzy, 30, adalah pilihan tepat sebagai bakal suami buat dirinya.

Erin berkata, sejak perkenalan mereka pada Januari lalu, banyak perkara yang menyakinkan mereka untuk sampai ke peringkat mengikat tali pertunangan malam tadi dan dijangka ke jinjang pelamin tahun depan.

“Dia (Farriz) seorang yang memang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan saya pula tidak ada masalah dalam hal berkahwin pada usia muda,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas mengenai majlis pertunangannya dengan Farriz yang diadakan di Duta Suria Residency di Ampang malam tadi.

Majlis itu dimulakan dengan bacaan doa dan diiringi dengan ucapan perbincangan oleh bapa saudara yang mewakili pihak lelaki, Zarak Kamal.

Sementara itu, pihak Erin mewakilkan bapa saudaranya, Zulkifli Sulaiman.

Pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa tepak sirih, sirih junjung, sepasang kain, kain telekung dan kek.

Rombongan pihak perempuan pula membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada jambangan sirih junjung, cincin, sepasang kain, set wangian, buah-buahan dan dua dulang manisan.

Majlis menyarung cincin disempurnakan oleh ibu Farriz, Wan Nor Azmah.

Pada majlis tersebut, Erin tampil anggun dalam persalinan pereka fesyen terkenal Azura Couture berserta pelamin bertemakan ‘Fairy Blossom’.

Kedua-dua pihak keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 10 Oktober depan.

Turut hadir pada majlis tersebut beberapa rakan artis seperti Fasha Sandha, Arja Lee dan Faralyna Idris.

Ketika ditemui selepas majlis selesai, Erin berkata, beliau bersyukur dan lega kerana semuanya berjalan lancar.

Sementara itu, Farriz memberitahu Erin merupakan seorang wanita yang matang walaupun baharu berusia 20 tahun.

Dia juga percaya keserasian dan kesefahaman antara mereka berdua mampu membina sebuah keluarga dalam masa terdekat ini.

“Sasaran saya adalah untuk berkahwin pada usia 30 tahun dan saya jumpa Erin pada masa yang tepat.

“Saya tidak mahu menghabiskan banyak masa dengan bercinta, sementara kedua-dua belah keluarga memang sudah bersetuju untuk mempercepatkan perkahwinan yang mana asalnya dirancang pada tahun hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.