Esok lebih 30 ribu ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat pilihan antara Datuk Seri Rafizi Ramli atau Nurul Izzah Anwar untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden selama tiga tahun. Kedua-dua mereka menawarkan jalan yang berbeza dan menuntut kematangan perwakilan untuk menentukan ke arah mana hala tuju parti.
Sesiapa yang kalah pun tidak akan terbuang, sebaliknya hanya akan berehat seketika bagi membolehkan diri merefleksi diri mencari di mana salah dan lemahnya.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri berkata beliau tidak dapat melarang pertandingan tersebut kerana ia parti yang diasaskan dengan semangat ‘lawan tetap lawan’.
Sama seperti beliau tidak melarang Rafizi mempertahankan jawatan, Anwar juga memlih untuk tidak melarang Nurul Izzah bertanding walaupun tahu akan berhadapan tuduhan nepotisme.
Lazimnya pemilihan parti adalah medan untuk memperkukuh barisan, menonjolkan kebolehan kepimpinan dan menawarkan pembaharuan. Apatah lagi yang kita fokus kali ini ialah pemilihan orang nombor dua parti yang memimpin negara.
Malangnya Rafizi selaku orang nombor dan Menteri yang menduduki posisi agak kanan memilih jalan yang sangat memalukan. Beliau memilih jalan seolah-olah PKR masih pembangkang.
PKR bukan lagi pembangkang. PKR adalah parti utama negara yang setiap mata rakyat serta pelabur luar melihat percaturan politik mereka sebagai corakkan masa depan negara.
Rafizi memulakan kempen dengan Podcast dengan tajuk “Yang Membakar Menteri: Yang Berhenti Menteri” untuk memberi gambaran besar kempennya selama dua minggu – ugutan halus akan meletak jawatan jika kalah, parti telah korup teruk dengan penipuan lebih besar-besaran dalam pemilihan ketua cabang dan budaya politik wang dalam parti.
Mencabar Anwar Ibrahim
Selepas dua siri himpunan membelasah kepimpinan PKR, Rafizi Ramli kemudian secara tersirat memberitahu bahawa jika beliau menang bermakna Anwar sudah hilang sokongan.
“Kalau contohnya Izzah kalah, apa mesejnya kepada rakyat? Contohnya mesejnya ialah anggota PKR menolak Anwar Ibrahim,” ucap Rafizi di Pulau Pinang sekaligus telah menarik Presiden sekali ke dalam kancah perbalahan.
Kempen Berbaur Ugutan dan Tekanan
Antara kenyataan paling kontroversi Rafizi ialah apabila beliau menyatakan bahawa jika kalah dalam pemilihan ini, beliau akan melepaskan jawatan dalam kerajaan.
Kenyataan sebegini, pada zahirnya mungkin kelihatan seperti manifestasi prinsip. Namun dalam konteks politik realiti, ia membawa maksud sebaliknya: undi saya, atau kerajaan akan terganggu. Ini bukan sekadar retorik, tetapi satu bentuk tekanan terhadap Presiden, Perdana Menteri dan perwakilan parti, yang akhirnya melemahkan kestabilan dalaman dan imej parti secara keseluruhan.
Menyerang Pemimpin Lain Secara Terbuka
Lebih memburukkan keadaan, Rafizi tidak sekadar berkempen – beliau menyerang dan membidas pemimpin parti sendiri secara langsung melalui siaran media sosial terbuka. Kritikan terhadap pemimpin tertentu, sindiran terhadap budaya “kem elitis”, serta dakwaan mengenai ‘strategi media sosial songsang’ telah membuka ruang kepada rakyat umum untuk menyaksikan keretakan dalam parti secara langsung.
Tindakan ini telah mencalar kredibiliti Presiden yang juga Perdana Menteri. Ia memberi gambaran bahawa pentadbiran kerajaan perpaduan tidak bersatu suara, malah berpecah dari dalam.
Ironi Rafizi: Menteri Mengkritik Kerajaan Sendiri
Rafizi juga dilihat mengkritik pendekatan kerajaan dalam beberapa isu — dari cara komunikasi, urus tadbir, sehinggalah keberkesanan polisi. Malangnya, beliau sendiri adalah antara arkitek utama dasar-dasar tersebut sebagai Menteri Ekonomi.
Persoalan timbul, jika beliau tidak berpuas hati, mengapa tidak memperbaikinya melalui saluran kabinet? Kenapa hanya mengangkat suara apabila musim pemilihan tiba?
Ini bukan keberanian. Ini adalah strategi politik berkepentingan peribadi – menjarakkan diri daripada kelemahan kerajaan hanya apabila dirinya dicabar.
Politik Lama Dalam Baju Reformis
Rafizi sering dilihat sebagai tokoh reformasi generasi baru, namun cara beliau berkempen membayangkan sebaliknya. Taktik serangan peribadi, ugutan pengunduran, dan naratif “kami atau tiada” mengingatkan kita kepada politik lama – politik pecah perintah, politik persepsi, bukan politik pembinaan.
PKR sedang menghadapi fasa paling penting dalam sejarahnya – kini sebagai teras kerajaan. Rakyat mahu kestabilan, kerjasama, dan dasar yang jelas. Mereka tidak berminat dengan pergelutan dalaman yang dipertontonkan seperti drama realiti.
Direhatkan Untuk Belajar Menjadi Negarawan
Esok kita semua akan membuat pemilihan, ia bukan lagi antara Rafizi dan Nurul Izzah. Rafizi telah menyeret Presiden sendiri ke dalam gelanggang dengan beberapa ugutan dan sindiran halus.
Kekecewaan Presiden jelas apabila beliau menyatakan tidak akan menggugurkan Rafizi dari kabinet jika kalah, namun juga tidak akan memujuk Rafizi kekal jika beliau mahu melepaskan jawatan.
Rafizi bukan tidak berbakat. Malah ideanya banyak membawa nafas segar dalam ekonomi dan strategi politik.
Namun apabila kuasa mula mengaburkan pertimbangan, dan kesetiaan kepada agenda parti digantikan dengan obsesi mempertahankan jawatan, maka adalah wajar beliau direhatkan.
Bukan untuk dihukum, tetapi untuk diberi ruang – agar beliau belajar kembali erti tanggungjawab kolektif, disiplin parti, dan seni memimpin dalam kerajaan.
PKR tidak perlukan pengugut politik. Ia perlukan negarawan.
Merehatkan Rafizi kali ini adalah pilihan terbaik supaya beliau dapat bermuhasabah diri dan menjadi pemimpin yang lebih baik masa depan.
Bayangkan jika beliau menang, lontaran rakyat bahlol dan ‘aku’ sahaja betul akan akan terus berkumandang.