KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyangkal sekeras-kerasnya projek MyKiosk diberikan kepada kroni.
Kor Ming malah menegaskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“KPKT terbuka untuk disiasat oleh SPRM berhubung ketelusan harga projek MyKiosk.
“Saya menafikan dakwaan bahawa projek ini diberikan kepada kroni dan menyifatkannya sebagai satu usaha politik untuk merosakkan imej Kerajaan Madani,” tegas beliau.
Ahli Parlimen DAP itu juga menegaskan bahawa projek MyKiosk 2.0 telah melalui penambahbaikan, termasuk ketahanan tenaga solar sehingga 12 jam dan penggunaan bahan berkualiti tinggi.
Kor Ming juga memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah serta menuduh MCA gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ahli majlis di negeri yang menerima banyak kiosk.
Pemuda MCA baru-baru ini memfailkan laporan kepada SPRM berhubung dakwaan ketidakwajaran dalam pelaksanaan projek MyKiosk di bawah KPKT.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Mike Chong mengetuai penghantaran laporan itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bersama beberapa wakil Pemuda dan Beliawanis MCA.
Menurut mereka, laporan itu dibuat bagi menggesa siasatan menyeluruh terhadap projek berkenaan, yang sebelum ini mencetuskan persoalan awam mengenai ketelusan dan tatakelola pelaksanaannya.
Dalam video itu, dia dilaporkan berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal apabila menteri KPKT, Nga Kor Ming menuduh MCA cuba memporak-perandakan kerajaan Perpaduan dengan isu tersebut.
“Isu ini bukan Pemuda MCA yang cakap, tapi kita menerima banyak laporan daripada orang ramai dan pendedahan yang dibuat oleh akhbar-akhbar tempatan.
“Banyak pautan berita mengatakan terdapat banyak MyKiosk tidak digunakan secara baik dengan alasan mungkin sebelum ini ada orang sewa, tetapi dikatakan duduk di situ tidak sesuai, lokasi tidak strategik atau duduk dalam itu panas.
“Untuk fasa pertama, mungkin tenaga solar tidak mencukupi, hanya boleh tahan empat jam dan pelbagai alasan lagi. Keberkesanan projek ini dipertikai ramai orang,” katanya.