KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima maklumat terbaru dari agensi luar berkaitan harta dan pemilikan aset bernilai tinggi bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarga.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan itu pihaknya membuka lapan kertas siasatan baharu berdasarkan maklumat berkenaan.
“Kita kini sedang ke arah untuk melihat harta-harta yang tidak diisytihar kepada kita satu ketika dulu.
“Jadi maklumat terbaru menunjukkan pemilikan aset-aset arwah, keluarga dan sekutunya yang bernilai tinggi yang tidak diisytihar kepada kami,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya lapor Harian Metro pada Khamis.
Azam berkata, aset-aset berkenaan dikesan di Switzerland, United Kingdom (UK) dan Singapura serta beberapa negara lain.
“SPRM sekarang sedang berhubung dengan beberapa pihak berkuasa di negara luar (bagi mendapatkan maklumat berkenaan).
“Ia tidak mudah kerana kita perlu mengikut prosedur undang-undang seperti Mutual Legal Assistance (Bantuan Perundangan Bersama),” katanya.
Menurutnya, setakat ini, sebanyak RM2 bilion aset dan harta milik Allahyarham sudah dibekukan sejak kes disiasat pada Februari 2023 lalu.
“Bagi maklumat terbaru ini siasatan akan dijalankan sekiranya benar tidak diisytiharkan ia adalah satu kesalahan. Walaupun ketiadaan Tun Daim tetapi kita akan mencadangkan untuk harta dan aset berkenaan dilucut hak kepada kerajaan.
“Namun ia bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk bersetuju atau tidak. Tetapi kita ke arah itu,” katanya.
Katanya, saksi-saksi kini sedang dipanggil untuk memastikan adakah harta ini diperoleh secara sah atau tidak termasuk dengan memanggil proksi dan ahli keluarga.
“Dalam kes ini saya memberi tempoh selama lebih kurang dua bulan kepada
pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan berhubung dengan lapan kertas siasatan yang baru dibuka,” katanya.