Neelofa Antara 10 Duta Baru TN50

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan 10 lagi Duta Transformasi Nasional (TN50) sekaligus menjadikan keseluruhan 23 duta terlibat secara langsung dalam menjayakan agenda itu.

Selebriti tanah air yang mempunyai hampir lima juta pengikut di Instagram, Noor Neelofa Mohd Noor turut dilantik dan tersenarai antara sepuluh duta yang dilantik hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata gelombang TN50 akan lebih besar dengan penglibatan belia yang terkemuka dalam bidang masing-masing.

“Saya yakin mereka akan membina gelombang yang lebih besar, lebih hebat dan lebih meluas dalam membawa semangat dan agenda TN50 kepada generasi muda Malaysia.

“Bukan sahaja dalam mendampingi dan mendekati lebih ramai anak muda bagi mendengar idea dan aspirasi mereka, tetapi juga untuk sama-sama memacu dan merancakkan lagi pelbagai program dan inisiatif yang dirancang di bawah payung TN50,” katanya pada Majlis Pengenalan Duta-duta TN50 Siri Kedua di sini hari ini.

Jelas Neelofa, fokusnya pada ketika ini adalah untuk menarik minat rakyat untuk terlibat secara langsung dalam pembentukan TN50 menerusi pengaruh media sosial yang dimilikinya.

“Saya rasa apa yang paling penting sekali adalah untuk mereka semua terlibat secara langsung sebab sekarang ini mereka rasa mereka tidak diperlukan dan tiada fungsi dalam pembentukan TN50. Jadi saya mahu wujudkan kesedaran supaya pengikut saya termasuk mereka di luar sana faham bahawa kita semua adalah sebahagian daripada pembentukan TN50.

“Apa yang boleh saya utarakan adalah menggunakan media sosial saya sebab sekarang ada banyak cara seperti IG live, Instastory dan pelbagai lagi di mana saya akan menggunakan ia sepenuhnya sebagai platform utama.

“Pastinya, selepas ini, saya akan terlibat secara langsung dan saya sebagai medium untuk tarik mereka (rakyat Malaysia) untuk menyertainya dan mendengarkan apa yang hendak disampaikan,” katanya pada sidang media tersebut.

Selain Neelofa, turut dilantik adalah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Arthur Joseph Kurup; penggiat seni muzik Iban di Sarawak, Gabriel Fairuz Louis; Pensyarah Kanan Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr. Izhar Ariff; Pengurus Eksekutif (Operasi) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jufitri Joha dan Pengasas dan Pengarah Urusan JuaraGym, Ben Uzair.

Selain itu, turut dilantik adalah penerima Young Guns Art Awards Kuala Lumpur 2017, Anniketyni Madian; usahawan dalam bidang pembangunan tenaga kerja dan pendidikan profesional, Dr. Juliana Alut Lim, Pengasas sukarelawan Help Somebody, Dr Esther Michael dan sukarelawan NGO Reef Check, Nadhirah Mohd Rifai.

Jelas Khairy, kesemua mereka akan memainkan peranan dan pengaruh mereka dalam bidang masing-masing dalam menarik minat lebih ramai belia untuk terlibat sama dalam pembentukan TN50. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.