Isyarat Negara Islam Bersatu Banteras Keganasan

RIYADH – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Sidang Kemun­cak Negara-negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat (AS) sebagai isyarat kepada masyarakat dunia bahawa negara-negara Islam bersatu menentang keganasan.

Perdana Menteri yang menghargai inisiatif Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menganjurkan pertemuan bersejarah itu berkata, dunia tidak perlu meragui bahawa sidang itu secara kolektif bersama masyarakat antarabangsa dalam memerangi ancaman global ini.

Kepada Raja Salman, Najib me­nyatakan: “Yakinlah bahawa Malaysia berdiri teguh dan menyokong kerajaan dan kepe­mimpinan sebagai penjaga dua Tanah Suci,’’

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 50 pemimpin yang menghadiri sidang tersebut di Pusat Konven­syen King Abdul Aziz, lapor Utusan.

Najib adalah antara pemimpin yang diberi peluang berucap selepas ucapan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Presiden AS, Donald Trump.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Raja Salman dan Perdana Menteri Libya, Fayez Al-Sarraj.

Perdana Menteri dalam ucapannya juga menegaskan, masya­rakat Islam hari ini secara keseluruhannya menentang keganasan dan ekstremisme.

Bagaimanapun beliau mengingatkan sidang yang diadakan di rantau Asia Barat yang tidak stabil menimbulkan kebimba­ngan kerana ketidakstabilan boleh menyumbang kepada keganasan.

Katanya, terdapat kepercayaan yang meluas di rantau ini yang Iran telah menyumbang sedikit sebanyak kepada ketidakstabilan.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan baik de­ngan negara-negara di rantau ini, Perdana Menteri berharap Iran mesti mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara jiran.

“Ini bukan hanya demi kestabilan serantau tetapi juga untuk perpaduan ummah,” katanya.

Perdana Menteri juga me­ngucapkan terima kasih kepada Trump yang berusaha mendekati negara Islam dalam menentang keganasan global.

Beliau turut mengingatkan bahawa menentang keganasan bukan hanya melalui ketente­raan tetapi apa yang lebih penting ialah memenangi hati dan minda masyarakat.

“Kita mesti menekankan supaya Islam yang sebenar dikenali di seluruh dunia dan pada masa yang sama bekerjasama menyelaras untuk menghancurkan Daesh dan sekutu mereka di mana sahaja kehadiran mereka dirasai,” katanya.

Malaysia katanya, tidak me­nye­rah kalah dalam usaha meme­rangi fahaman radikal ini dengan mengambil pelbagai pendekatan termasuk mempromosikan konsep wasatiyyah iaitu kesederhanaan menurut al-Quran.

Di peringkat antarabangsa juga, tegas beliau, pelbagai kerjasama diwujudkan termasuk bersama AS dengan memperkenalkan Bahagian Komunikasi Strategik Digital bagi menangani penyebaran mesej negatif keganasan.

“Begitu juga kerjasama pering­kat serantau dengan Australia untuk menghentikan aliran dana untuk kumpulan pengganas, dan bersama United Kingdom dan Perancis berkaitan tujuh bidang utama termasuk keganasan siber.

“Pada tahun 2010, di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), saya juga telah menggesa bagi Pergerakan Global Kesederhanaan dan program deradikalisasi kami telah mencapai 95 pe­ratus kejayaan dalam memulihkan golongan yang terjebak sebagai ekstremis,” katanya.

Sambil menyatakan kesediaan Malaysia berkongsi pengalaman menangani keganasan, Najib juga menarik perhatian kerjasama dengan Arab Saudi melalui penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Kuala Lumpur hasil lawatan negara Raja Salman ke Malaysia Februari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.