Anwar PM Ke7, Perlu Dibincangkan Dahulu, Kata Mukhriz

SHAH ALAM – Isu meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh perlu dibincangkan terlebih dulu di peringkat kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ketika ini, perkara itu masih belum dibincangkan lagi dalam Pakatan Harapan.

“Tak kan tanya saya pula, kena tanya Harapan (Pakatan Harapan). Saya timbalan presiden Bersatu (PPBM). Ada empat parti dalam Pakatan Harapan.

“Tak apalah kita bincangkan dalam Pakatan Harapan sebelum kita buat sebarang keputusan. Tapi saya setuju sebaik-baiknya calon Perdana Menteri diumumkan sebelum pilihan raya, ” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai hasrat perwakilan pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-12 di sini, hari ini.

Terdahulu sebaik selepas Amanat Ketua Umum dibacakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sebahagian besar perwakilan yang hadir pada kongres berkenaan berdiri dan mengangkat kertas bertulis ‘Anwar PM ke 7’.

Malah, hasrat untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri jelas didengari ketika ucapan dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Kongres Nasional ke-12 pergerakan itu, semalam.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya soalan sama, beliau hanya menjawab ia terpulang kepada rakyat sama ada mahu melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh atau sebaliknya.

Dr Mahathir juga menafikan bahawa beliau yang memenjarakan Anwar.

“Bukan saya yang memenjarakan beliau, itu cerita lama. Najib (Perdana Menteri Najib Razak) yang memasukkan beliau ke dalam penjara, ” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.