Video : Warga Asing Sakit Mental, Darah Tinggi Dicekup JPJ

Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim

 

KUALA LUMPUR – “Tolonglah saya, saya ada darah tinggi, sakit hidung, sakit mental pun ada,”dakwa warga asing yang ditahan pasukan risikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar ibu negara awal pagi tadi.

 

Warga pakistan yang memandu tanpa lesen memandu dan lesen perkhidmatan awam ketika sedang membawa teksi dan mengambil penumpang itu terkejut apabila ditahan di jalan Bukit Bintang, bagaimanapun akur dengan arahan pihak berkuasa.

 

Dia yang mengadu mempunyai masalah kesihatan selepas didapati bersalah pada awalnya meminta dilepaskan kerana turut berhadapan masalah kewangan disamping mendakwa mempunyai dua anak dan isteri rakyat Sabah yang tidak bekerja.

 

Bagaimanapun, pihak JPJ menyerahkan warga Pakistan yang berusia 40 tahun itu kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut manakala kenderaan teksi yang dipandu mereka disita bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Mahassan berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang memberikan kebenaran kepada individu warga asing memandu secara haram.

 

“Sebelum ini kita telah memberi tumpuan kepada kenderaan-kenderaan perdagangan tetapi mulai hari ini kita akan spesifik kepada pemandu kenderaan perkhidmatan awam.

 

“Kita juga akan hantar laporan kepada pihak SPAD untuk tindakan selanjutnya ke atas pemilik lesen berkenaan (terlibat memberi kebenaran kepada warga asing memandu teksi),”katanya pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

 

Muhammad Kifli berkata, pihaknya turut meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan pemandu teksi yang didapati menjalankan kegiatan tersebut secara haram supaya melaporkannya terus kepada pihak JPJ untuk tindakan selanjutnya.

 

Sementara itu, dua lelaki terdiri daripada warga Indonesia dan India memandu lori tanpa lesen, berusia lingkungan 40-an turut ditahan dalam operasi yang sama di Jalan Genting Sempah.

 

Kedua-dua tahanan tersebut turut diserahkan kepada Jabatan Imigresen manakala lori yang dipandu oleh mereka disita untuk disiasat di bawah Seksyen 23 dan 56 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu dan lesen perkhidmatan awam.

 

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kifli berkata, operasi yang dijalankan 24 anggota JPJ itu turut mengeluarkan sebanyak 170 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan jalan raya.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.