PR1MA Sedia Pikul Tanggungjawab Bina 606,000 Unit Rumah

KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bersedia memikul tanggungjawab besar membina sebanyak 606,000 unit rumah untuk rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

 

PR1MA dalam kenyataannya berkata, pihaknya komited untuk merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia memiliki kediaman sendiri.

 

“PR1MA menyambut baik RMK-11 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam. Rancangan ini untuk meningkatkan akses perumahan mampu milik yang berkualiti kepada rakyat dan menangani isu pemilikan rumah.

 

“Tugas PR1MA adalah untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana,” kata kenyataan itu di sini.

 

Menurut kenyataan itu, setakat ini, Ahli Perbadanan PR1MA telah meluluskan sebanyak 134,352 unit rumah PR1MA untuk dibina dan 37,063 unit rumah dalam proses pembinaan.

 

“Setakat Mei 2015, lebih 992,000 pembeli yang berminat untuk memiliki rumah PR1MA telah berdaftar di bawah Sistem Pendaftaran Nasional,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.