PERKASA ‘Bersatu’ Dengan PAS Dalam Demo Morsi

PAS dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini ‘bersatu’ menentang hukuman bunuh terhadap bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi dalam di kedutaan negara itu petang ini.

 

Bermula daripada dua tempat berbeza, kumpulan PERKASA dan PAS kemudian ‘bertembung’ berhampiran bangunan Kedutaan Mesir di Jalan Ampang Hilir.

 

Bagaimaapun, kedua-dua kumpulan dipisahkan jarak kira-kira 50 meter kerana PERKASA bertegas enggan menjadi “pertubuhan politik”.

 

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, mereka sengaja tidak mendekati PAS memandangkan pertubuhannya itu bukan parti politik.

 

Malah katanya, dengan tidak bergabung bermakna Kedutaan Mesir akan menerima lebih daripada satu memorandum daripada rakyat negara ini.

 

“Mungkin kita tak pergi ke sana (bersama PAS) walaupun tujuan kami sama. (Lagi pun) mereka tidak jemput kita,” katanya.

 

Bercakap kepada media, Ibrahim mempertikaikan mengapa AS berdiam diri dalam isu Morsi dan Rohingya tetapi mengkritik Malaysia berhubung kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

 

Pertubuhan macam kucing

 

Sebelum itu, PERKASA memulakan perarakan protes mereka dari Kedutaan Myanmar untuk menyerahkan memorandum mengecam penindasan kerajaan negara itu terhadap etnik Rohingya.

 

Dalam protes yang disertai kira-kira 80 orang itu, mereka membawa pelbagai plakad. Antaranya bertulis “Selamatkan Rohingya”, “Henti membunuh Rohingya” dan “Hentikan pembersihan etnik”.

 

Ibrahim turut menggesa Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar kerana keengganan negara menyelesaikan masalah etnik Rohingya.

 

Beliau juga mencadangkan ASEAN melaksanakan sekatan ekonomi terhadap negara berkenaan.

 

PERKASA juga, kata Ibrahim, menuntut Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera bersidang bagi menyelesaikan masalah etnik Rohingya.

 

“OIC ini macam kucing. Langsung tidak mahu mendengar suara daripada orang ramai. Mereka sepatutnya menyumbang makanan kepada etnik Rohingya yang kini ditindas.

 

“Tak payahlah orang ramai mencari derma untuk menyumbang kepada etnik Rohingya ini. Cukup dengan negara OIC,” katanya. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!