V Shem-Wee Kiong Cipta Kejutan

NEW DELHI – Nyanyian lagu selamat hari jadi daripada rakan-rakan sepasukan mengiringi Goh V Shem-Tan Wee Kiong sebaik sahaja beregu negara itu memastikan Malaysia muncul juara Kumpulan C selepas menundukkan Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan terakh­ir peringkat awal kejohanan Piala Thomas semalam.

Selaku juara kumpulan, pasukan negara memastikan diri untuk tidak bertembung dengan dua gergasi badminton dunia, China dan Indonesia pada suku akhir hari ini.

V Shem dan Wee Kiong, yang masing-masing menyambut ulang tahun ke-25 pada 20 serta 21 Mei, mengesahkan kemenangan pasukan negara ke atas Korea Selatan selepas mengejutkan beregu No. 4 dunia, Kim Sa Rang-Kim Ki Jung 21-17, 21-19.

Percaturan yang dilakukan jurula­tih, Pang Cheh Chang dengan memecah­kan gan­dingan V Shem dan pasa­ngannya, Lim Khim Wah, manakala Wee Kiong sepatutnya bersama Hoon Thien How nyata mengelirukan Korea Selatan.

Mereka bagaimanapun berpotensi untuk kembali bertemu Korea Selatan dalam undian suku akhir, selain Thailand dan Perancis yang muncul naib juara kumpulan masing-masing, manakala Denmark akan membuat perhitungan dengan Jepun untuk menentukan juara Kumpulan B.

“Memang satu perasaan yang hebat dapat memberikan mata kemenangan kepada pasukan negara pada hari istimewa kami. Apa yang lebih menggembirakan kemenangan ini membantu kami muncul juara kumpulan dan mengelak daripada berdepan pasukan kuat di suku akhir.

“Sebelum turun ke gelanggang, pa­sukan memberi kejutan kepada kami dengan membawa kek hari jadi. Saya benar-benar terharu dan berjanji untuk cuba menghadiahkan kemenangan kepada negara dan gembira akhirnya berjaya memenuhi misi tersebut,” kata Wee Kiong.

Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan mata pertama Malaysia selepas menumpaskan Son Wan Ho 21-17, 21-17, namun gandingan senior, Tan Boon Heong-Hoon Thien How menjadikan keadaan cemas seketika apabila tumpas 19-21, 19-21 kepada beregu handalan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Chong Wei Feng juga cemas seketika apabila tewas kepada Lee Dong Keun di set pembukaan, namun bangkit dengan persembahan lebih baik dalam dua set berikutnya untuk menang 19-21, 21-17, 21-14.

Selain kemenangan V Shem-Wee Kiong, turut menjadi tumpuan semalam adalah penampilan sulung pemain muda negara, Goh Soon Huat selaku perseorangan ketiga.

Soon Huat cuba memberikan tentangan kepada Soo Hwang Jong tetapi terpaksa akur de­ngan kekalahan 21-23, 15-21. Ini menjadikan perebutan slot perseorangan ketiga hari ini kembali terbuka di antara Soon Huat dan kapten, Liew Daren.

Berjaya menamatkan kempen selaku juara kumpulan memadam igauan buruk Piala Thomas 2012 di Wuhan apabila Malaysia diundi menentang China seawal peringkat suku akhir selepas sekadar muncul naib juara kumpulan.

“Apa yang berlaku dua tahun lalu ibarat mimpi ngeri. Saya cedera ketika itu dan pasukan gagal menamatkan cabaran selaku juara kumpulan, sebelum kami akhirnya terpaksa menentang China di suku akhir.

“Biarpun tidak perlu bertemu mereka di peringkat awal sekali lagi, namun saya ingin mengingatkan rakan-rakan sepasukan bahawa cabaran masih tidak mudah. Memang semangat yang ditunjukkan pasukan kali ini cukup tinggi, tetapi saya harap mereka akan terus memperbaiki permainan,” kata Chong Wei, yang masih belum melepaskan sebarang set dalam tiga perlawanan setakat ini. – UTUSAN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.