Usaha Kami Macam Sampah – Wings

Belum pun sempat album terbaru kumpulan lagenda Rock tanah air, Wings yang berjudul ‘Menakluk Kosmos’ dilancarkan dan berada di pasaran, kita dikejutkan dengan berita album tersebut telah dicetak rompak.

Sebanyak empat buah lagu terbaharu Wings daripada album tersebut yang dipasarkan menerusi iTunes sejak dua bulan lalu boleh dimuat naik secara percuma. Lagu-lagu tersebut ialah ‘Peti Pandora Mu’, ‘Ingatkan Dia’, ‘Bisa Yang Tertunda’ dan ‘Hey Lihat Sini’.

Kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku, Wings bagaimanapun tidak berdiam diri. Sebalik empat pemuzik berkaliber ini nekad menuntut hak mereka. Sebagai langkah pertama, Wings telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, pada Selasa (malam tadi), sekitar jam 8 malam.

Menurut vokalisnya Awie, laporan tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terbabit dengan penerbitan juga promosi album ini, tentang bagaimana kejadian cetak rompak itu boleh berlaku.

“Kita dapat tahu pada 17 Mei yang mana sebanyak 4 buah lagu telah dicetak rompak. Sedangkan album akan berada di pasaran pada 22 Mei. Malah salah satu lagu yang dicetak rompak itu sepatutnya akan menjadi runut bunyi kepada sebuah filem terbitan KRU.

“Apabila mendapat tahu hal itu, Joe (gitaris) terus memaklumkan kepada pihak penerbitan album ini iaitu KRU Music menerusi pesanan ringkas (SMS). Bagaimanapun tiada sebarang tindakan yang dibuat oleh KRU Music sehinggalah ke hari majlis pelancaran album ini iaitu pada 19 Mei lalu.

“Jadi bila tiada apa-apa tindakan daripada KRU Music, kami terpaksalah buat tindakan sendiri dengan membuat laporan polis. Kami mahukan penjelasan daripada KRU dan pihak KPDNKK bagaimana hal ini boleh berlaku sekaligus menuntut hak kami. Sekarang ini kami serahkan segalanya pada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Selepas itu baru kami akan fikirkan tindakan seterusnya”, kata Awie ketika dihubungi Malaysian Digest, malam tadi.

wings 2

 

 

 

 

 

 

Wings menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran isu 4 lagu baru mereka dicetak rompak. Laporan tersebut dibuat di balai polis Taman Melawati, pada Selasa.Wings menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran isu 4 lagu baru mereka dicetak rompak. Laporan tersebut dibuat di balai polis Taman Melawati, pada Selasa.

Ditanya adakah isu ini mempunyai unsur sabotaj, Awie bagaimanapun menafikan perkara itu. Namun katanya, jika hal itu benar terjadi, Wings tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada individu yang terbabit.

Dalam pada itu, Awie turut menyatakan kekesalannya atas apa yang berlaku kerana sebagai sebuah kumpulan yang sudah berpuluh tahun berkecimpung dalam arena muzik tempatan, isu cetak rompak ini masih lagi berleluasa.

Lebih menyedihkan kerana album tersebut terhasil selepas 13 tahun Wings tidak mempunyai album baru. Seluruh jiwa dan raga mereka dicurahkan dalam album tersebut demi menghasilkan sebuah karya yang paling terbaik buat para peminat mereka. Malangnya kerja keras dan penat lelah mereka menjadi sia-sia dek lagu-lagu mereka ‘dicuri’.

“Sudah 13 tahun kami tidak ada album. Kalau nak diikutkan kami antara band lama yang masih aktif dan bertapak kukuh dalam industri. Album inilah sebagai kelangsungan untuk kami cari makan. Kalau sudah dicetak rompak, macam mana nak dapat royalti nanti.

“Tambahan kami ambil masa yang lama untuk hasilkan album ini. Saya sendiri ambil masa selama setahun untuk pulihkan kembali semangat saya untuk menyanyi. Dan kami sedaya upaya menghasilkan lagu-lagu paling terbaik untuk peminat-peminat kami.

“Tapi bila jadi macam ni, saya sangat kecewa. Segala penat lelah dan usaha kami selama ini ibarat macam sampah. Itu baru empat lagu yang dicetak rompak, kalau tiada tindakan apa-apa diambil, entah selepas ni mungkin keseluruhan lagu dalam album itu akan sewenang-wenangnya dicetak rompak.

“Kami berusaha memberi yang terbaik untuk pendengar muzik, jadi kami pun mengharapkan masyarakat juga peminat muzik dapat hargai dengan cara yang terbaik. Bukan dengan cara yang begini”, tuturnya dengan nada kesal sekaligus berharap isu ini segera ditangani oleh pihak berkuasa.

Tidak menafikan kerisauannya, Awie turut mengakui isu ini sikit sebanyak akan menjejaskan penjualan album ‘Menakluk Kosmos’. Namun beliau yakin bahwa peminat hari ini semakin bijak dan dapat menilai penghasilan terbaik daripada album itu.

“Saya harap semua pihak bersatu untuk membanteras isu ini. Kita sudah berada di taun 2014 tapi isu cetak rompak ini masih lagi tidak selesai.

“Tak dinafi isu ini akan menjejaskan penjualan album kami. Tapi saya harap, kepada semua pencinta muzik, jangan nilaikan album kami menerusi downloading tapi nilaikan daripada usaha kami. Dengan sokongan para peminat sekaligus menjadi semangat untuk kami meneruskan pejuangan dalam industri ini”, tuturnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.