Umno Sudah Lama Letak Wanita Dalam Politik

PETALING JAYA – Perjuangan Umno sejak penubuhannya bukan sahaja berjaya mengangkat martabat wanita ke tahap yang tinggi, malah turut meletakkan mereka dalam barisan kepimpinan dan politik negara.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin berkata dakwaan calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud, kononnya Umno gagal menaikkan golongan muda dan wanita dalam politik, nyata tidak berasas.

“Umno sejak tahun 1955 sudah meletakkan calon wanita pertama, jadi DAP tak usah sembanglah DAP lebih ‘appreciate’ orang muda dan wanita,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran Bazar Bayahista anjuran pergerakan itu di sini, hari ini.

Mas Ermieyati merujuk kepada Halimahton Abdul Majid yang menjadi wanita tunggal dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya 1955 dan berjaya menjadi wakil rakyat.

Mas Ermieyati, anggota Parlimen Masjid Tanah berkata Umno juga tidak pernah meminggirkan golongan muda, sebaliknya mewujudkan sayap Puteri dan Putra, untuk bersama Pemuda dan Wanita Umno menyertai barisan kepimpinan politiknya.

“Saya sendiri, lahir dari Puteri Umno, saya masuk Puteri, ini membuktikan Umno memberikan peluang,” katanya.

Mas Ermieyati mengulas dakwaan Dyana Sofya kononnya DAP lebih menghormati wanita dan mengiktiraf mereka bagi memegang jawatan lebih besar dalam kerajaan.

“Kita berharap pengundi Teluk Intan berfikir apakah agenda DAP meletakkan Dyana Sofya sebagai calon mereka,” katanya.

Dyana Sofya akan menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong pada PRK Teluk Intan itu, ekoran kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Mengenai Bazar Bayahista, Mas Ermieyati berkata ia merupakan program julung kali dianjurkan pergerakan itu bagi membantu golongan muda khususnya usahawan fesyen muslimah untuk mempromosi perniagaan.

Katanya, bazar itu pada 7 dan 8 Jun ini di perkarangan pasaraya Encorp Strand Mall, di sini, akan diiisi dengan pelbagai program termasuk persembahan fesyen, bengkel solekan, pemakaian tudung dan jahitan jubah serta bual bicara perniagaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.