Rakyat Malaysia Ditahan, Sembunyi Syabu Dalam Seluar Dalam

Jakarta – Percubaan seorang rakyat Malaysia menyeludup syabu dengan menyembunyikannya di seluar dalamnya, gagal apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, 12 Mei lalu.

Wanita berusia 29 tahun itu yang menaiki pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong ke Surabaya, ditahan pegawai Kastam dan Eksais, sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan pada jam 10.45 malam.

Jurucakap Kastam dan Eksais Juanda, Iwan Heriawan berkata, dadah seberat 720 gram itu ditemui dalam dua bungkusan plastik yang dijahit menyerupai tuala wanita dan dilekatkan pada seluar dalam suspek.

“Pengawasan ketat terhadap wanita itu dilakukan, selepas kami mengesyaki sesuatu, lalu pegawai keselamatan melakukan pemeriksaan terhadap semua barang yang dibawanya, termasuk seluar dalam yang dipakainya,” kata Iwan pada Rabu.

Beliau berkata, dalam siasatan itu, suspek memberitahu dia diminta membawa dadah itu untuk diserahkan kepada seseorang di Jakarta.

“Dengan kerjasama Bahagian Narkotik Polis Daerah Jawa Timur, kenyataan suspek terbukti benar, apabila polis berjaya menangkap seorang suspek lain, iaitu warga Nigeria yang berada di Jakarta,” katanya.

Jurucakap Polis Daerah Jawa Timur, Andi Ludianto berkata, pihaknya akan terus menjalankan siasatan berhubung kes itu.

“Ini modus operandi rangkaian pengedaran. Individu yang memesan barang (dadah) ada di Jakarta, tetapi barang diturunkan di Surabaya. Kami masih menjalankan siasatan kes ini,” kata Andi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.