Polis Buru Bmpat Suspek Culik Pelajar Malaysia Di Bandung

JAKARTA 21 Mei – Empat suspek yang disyaki menculik dan merompak seorang pelajar wanita Malaysia di Universiti Padjajaran (Unpad) kini menjadi buruan pihak polis Bandung, Jawa Barat dengan seorang daripada suspek itu sudah dikenal pasti ciri-ciri dan identitinya.

Pada masa sama, pihak polis juga bekerjasama dengan Jabatan Jenayah Polis Daerah Jawa Barat menyediakan lakaran wajah suspek terbabit untuk diedarkan.

Menurut Ketua Polis Cimahi, Bandung, Erwin Kurniawan, usaha menjejaki suspek dibuat selepas polis mendapatkan keterangan daripada mangsa.

“Berdasarkan keterangan mangsa, ada tiga orang yang melakukan penganiayaan terhadapnya sementara seorang lagi memandu kereta. Mangsa juga memberitahu dia masih ingat wajah salah seorang daripada pelaku itu,” kata Erwin dalam sidang akhbar hari ini.

Erwin berkata, polis mendapatkan keterangan mengenai suspek-suspek berdasarkan temu bual dengan mangsa ketika dia menerima rawatan di Hospital Hasan Sadikin.

Utusan Malaysia difahamkan, pelajar tersebut bagaimanapun sudah dibawa pulang ke tanah air semalam dan enggan kembali lagi ke Unpad untuk menyambung pengajian kerana trauma.

Menurut Erwin, polis menerima laporan daripada seorang warga tempatan, Tata Sumitra pada Sabtu lalu yang mendakwa menemui mangsa dalam keadaan pengsan di kawasan Cikole Lembang, Bandung.

“Berdasarkan laporan itu, polis mendapat keterangan bahawa wanita yang dalam keadaan bingung itu tertekan dengan pakaian compang-camping, disyaki menjadi mangsa culik dan rompak. Mangsa juga mendakwa dia berasa sangat pening selepas diberi minuman oleh suspek,” jelas Erwin.

Pelajar berkenaan disyaki dibius sebelum diculik oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika dia mahu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran automatik (ATM) di kawasan kampusnya.

Keempat-empat suspek itu turut mencuri barangan berharga mangsa seperti sebuah telefon bimbit, sebuah tablet serta seutas rantai dan gelang emas sebelum melarikan diri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.