Abu Backer Mahu Saman Guan Eng

Georgetown – Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohammad Zan mahu menyaman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana didakwa menyebabkan kecederaannya.

Beliau mendakwa retak tulang pinggul, patah tulang rusuk dan mendapat jangkitan paru-paru selepas dilanggar kereta Guan Eng di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam.

Beliau berkata insiden itu tidak akan berlaku sekiranya Guan Eng adil dan membenarkan beliau bertemu dengannya seperti calon DAP Ramkarpal Singh di DUN semalam.

“Saya nak saman Guan Eng. Kalau dia jumpa saya tak cedera macam ni,” katanya kepada wartawan dari atas katil hospital sebuah pusat perubatan swasta.

“Saya dah nak balik tapi bila saya nampak calon Bukit Gelugor DAP Ramkarpal saya tak puas hati. Kenapa dia boleh masuk dan saya tak? Ini tidak adil,” kata beliau.

Semalam, Backer yang menunggu di hadapan DUN sejak jam 12.30 tengah hari bertindak nekad menahan Lim yang mahu beredar dengan kereta kira-kira jam 2 petang.

Selepas 10 minit Backer yang dihalang oleh sekumpulan pengawal keselamatan DUN kemudiannya ‘melanggar’ kereta Mercedes Lim dan terus terbaring di atas jalan raya.

Hal ini menyebabkan kesesakan di Lebuh Light, di hadapan DUN.

Lim, pemandu dan pembantu peribadi beliau terus beredar tanpa turun dari kereta itu.

Backer dirawat di Hospital Pulau Pinang sebelum dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta lewat malam tadi.

Backer juga mahu mengadakan lagi sidang media petang ini bagi memberi maklumat lanjut kepada wartawan.

Bagaimanapun pihak hospital tidak membenarkan sidang media itu diadakan dan meminta wartawan beredar dari premis berkenaan.

“Doktor kata pesakit perlu berehat,” kata wakil hospital berkenaan yang tidak mahu ditemuramah. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.