KUALA LUMPUR – Menyusul selepas beberapa tahun mengukir nama dalam industri muzik, penyanyi muda berbakat Rika Riana kembali dengan single terbarunya berjudul Harus Begini Jadinya — sebuah balada penuh emosi yang menyentuh soal kehilangan dan keikhlasan melepaskan.
Dilancarkan secara rasmi pada 18 April di semua platform digital, lagu ini turut disertai dengan video muzik (MV) yang boleh ditonton melalui saluran YouTube Indigital Music.
Single ini menandakan lembaran baru dalam perjalanan muzik Rika, yang juga dikenali sebagai finalis Mentor Millenia 2019. Lebih menarik, lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer prolifik, Ajai — menjadikan kolaborasi ini antara yang paling dinanti-nantikan oleh peminat dan pengikut perkembangan seni Rika.
“Harus Begini Jadinya adalah lagu yang sangat peribadi buat saya. Ia menggambarkan satu fasa dalam hidup bila kita perlu melepaskan, walaupun hati masih belum bersedia,” jelas Rika ketika ditemui.
Mengusung tema penerimaan dan keredaan terhadap kehilangan, lagu ini disampaikan dengan penghayatan mendalam dan nuansa vokal yang lebih matang, memperlihatkan kematangan emosi Rika dalam menginterpretasi karya berat.
Ajai selaku penerbit turut memainkan peranan penting dalam memastikan emosi yang dibawa dalam lagu ini tersampaikan secara jujur dan berkesan.
“Abang Ajai banyak bantu saya fahami setiap maksud lirik. Proses rakaman ini bukan sekadar menyanyi, tapi benar-benar menyelami perasaan,” kata Rika lagi.
Dari segi visual, MV Harus Begini Jadinya mempertaruhkan pendekatan minimalis dengan latar lokasi dalam rumah, disesuaikan semula selepas penggambaran asal di ruang terbuka terpaksa dibatalkan akibat cuaca tidak mengizinkan.
Walaupun ringkas, MV tersebut berjaya menghidupkan naratif lagu menerusi simbolisme kesunyian dan kekosongan — selari dengan tema utama lagu.
“Kami nak bawa rasa senyap yang berbicara. Walaupun tanpa dialog atau lokasi luar, setiap babak membawa emosi yang tersendiri,” tambah Rika.
Single ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music, menjadi langkah signifikan buat Rika dalam memperkukuhkan jenamanya sebagai penyanyi solo yang serius dan berjiwa besar.
Dengan harapan agar tahun 2025 menjadi permulaan yang lebih cemerlang, Rika percaya Harus Begini Jadinya bakal membuka ruang untuk karya-karya lebih berkualiti dan kolaborasi impian yang lain.
“Saya harap pendengar dapat merasai kejujuran yang saya cuba sampaikan. Moga lagu ini menjadi pengubat bagi sesiapa yang pernah kehilangan dan sedang belajar untuk melepaskan,” ujar Rika mengakhiri bicara.